Tempatan

Kurang Risiko Gangguan Air, Empangan Mengkuang Dinaik Taraf Empangan Harian 

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GEORGE TOWN, 09 Oktober 2022 – Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) di Seberang Perai Tengah (SPT) bakal dinaik taraf menjadi empangan harian bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan air tidak berjadual di seluruh negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata, EMD yang sebelum ini merupakan empangan rizab kemarau strategik akan berfungsi seperti Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di bahagian pulau.

Jelasnya, EMD tersedia untuk pengeluaran harian dan kecemasan apabila paras air Sungai Muda rendah ketika musim kemarau atau apabila kualiti air Sungai Muda terjejas dan tidak boleh dirawat.

“Objektif utama adalah mengurangkan risiko gangguan bekalan air tidak berjadual di seluruh negeri apabila kekeruhan tinggi air mentah dari Sungai Muda mengancam operasi air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.”

“Objektif kedua adalah merawat air dari empangan terbesar Pulau Pinang setiap hari, bagi menyokong pertambahan permintaan air di Seberang Perai Utara (SPU) dan SPT.”

Menurutnya, LRA Sungai Dua mesti mempunyai akses berterusan kepada kira-kira 1,000 juta liter sehari (JLH) air mentah dari Empangan Mengkuang bagi mengelak gangguan bekalan air seluruh negeri.

“PBAPP akan membangunkan kapasiti untuk melepaskan 1,000 JLH dari Empangan Mengkuang pada masa depan apabila kualiti air mentah Sungai Muda terjejas.”

“Ketika ini kapasiti pelepasan maksimum PBAPP ialah 300 JLH dan dengan pengoperasian Fasa 2B Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) oleh Kerajaan Persekutuan, kapasiti pelepasan maksimum akan ditingkatkan kepada 600 JLH. “

Tambahnya, dengan pengoperasian satu lagi set saluran paip 400 JLH yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, kapasiti pelepasan maksimum akan mencecah 1,000 JLH.

“Pemasangan saluran paip baharu ini harus disiapkan dengan pantas bagi menangani risiko air mentah Pulau Pinang, yang berkaitan dengan Sungai Muda.”

Dalam pada itu, beliau memaklumkan rancangan untuk membina LRA Empangan Mengkuang baharu di lokasi berdekatan EMD dan LRA sedang dijalankan dan dijadualkan beroperasi menjelang Disember 2025.

“Kawasan liputan LRA Empangan Mengkuang ialah SPU dan perbandaran Bukit Mertajam yang berdekatan,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: