Jakarta Ungguli Carta Udara Paling Kotor Di Dunia
JAKARTA, 14 Ogos 2023 – Ibu kota Indonesia, Jakarta mendominasi carta sebagai bandar paling tercemar di dunia dan kekal dalam kedudukan 10 bandar dengan pencemaran terburuk sejak Mei lalu, lapor syarikat teknologi kualiti udara Sweden, IQAir.
Menurut laporan media, penduduk Jakarta telah membuat aduan sekian lama mengenai tahap udara di bandar raya ini yang berpunca daripada kesesakan lalu lintas, asap industri dan loji kuasa yang dijana arang batu.
BACA JUGA: Suspek Jual Darjah Kebesaran Pahang Secara ‘Online’ Telah Dikenal Pasti – Polis
BACA JUGA: Korea Utara Buat Persediaan Perang, Pecat Pemimpin Tentera
BACA JUGA: Akta Anti Homoseksual: Bank Dunia Tahan Pinjaman Uganda
Malahan, ada dalam kalangan mereka melancarkan tindakan undang-undang pada 2021 bagi menuntut kerajaan mengambil langkah agresif menangani masalah pencemaran udara.
Namun, masalah itu masih tidak selesai dan situasi dilaporkan menjadi semakin teruk.
Seorang penduduk, Rizky Putra memaklumkan, kualiti udara yang kotor menyebabkan kesihatan anaknya terjejas.
“Saya rasa, situasi ketika ini semakin membimbangkan kerana semakin ramai kanak-kanak jatuh sakit dengan ada dalam kalangan mereka mempunyai gejala batuk dan selsema,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Joko Widodo memberitahu bahawa masalah itu boleh diselesaikan apabila ibu kota Indonesia dipindahkan ke Nusantara.
Nusantara dijangka mula beroperasi sebagai ibu kota baharu Indonesia bermula tahun depan dan dijangka sekurang-kurangnya 16,000 penjawat awam termasuk tentera dan polis dijadualkan berpindah ke sana.