Jaja Isu Ketua Menteri P. Pinang Bukan Cina, DAP Diselar
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PULAU PINANG, 12 September 2022 – Ketua Malaysian Chinese Association (MCA) Pulau Pinang, Tan Teik Cheng telah menyelar Democratic Action Party (DAP) atas dakwaan bahawa DAP telah memujuk pengundi untuk mengundi DAP bagi mengekalkan Ketua Menteri berbangsa Cina di Pulau Pinang.
Beliau dilaporkan turut mendakwa bahawa hal ini seolah-olah mencipta suatu tanggapan bahawa sekiranya Barisan Nasional berkuasa di Pulau Pinang, Ketua Menteri akan terdiri dari ahli UMNO.
“Mereka sedang cuba mencipta tanggapan yang salah bahawa sekiranya Barisan Nasional berkuasa lagi di Pulau Pinang, Ketua Menteri akan terdiri dari UMNO. Ini sesuatu yang dahsyat dan tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Jelasnya lagi, UMNO ttidak akan mampu menguruskan Pulau Pinang secara bersendirian.
“Saya ingin beritahu warga Cina Pulau Pinang bahawa UMNO tidak mampu menguruskan Pulau Pinang sendiri. Kalaupun UMNO menang, mereka memerlukan sumbangan kerusi MCA untuk memerintah,” tegas beliau.
Beliau turut mendakwa bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah “suasana politik istimewa” bagi bangsa Cina di Malaysia, dan isu jawatan Ketua Menteri jatuh kepada tangan bangsa lain akan sering dimainkan.