JAIS Malu Sajat Bongkarkan Di Peringkat Antarabangsa — Siti Kasim
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
Peguam merangkap aktivis, Siti Kasim baru-baru ini berkongsi kegembiraannya kerana Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman yang lebih dikenali sebagai Nur Sajat kini berani bangkit mengadu tentang nasib kaum transgender tempatan di peringkat antarabangsa.
“Betulkah kalau saya fikir yang JAIS sekarang takut dan/atau malu untuk dibongkarkan ketaksuban mereka tentang cara mereka melayan komuniti LGBTIQ dalam negara ini di peringkat antarabangsa?” ujar beliau dalam sebuah hantaran di laman Facebook.
“Saya sangat gembira Sajat cukup berani untuk bersuara tentang nasib transgender di Malaysia. You go girl!! Saya letakkan harapan pada anda. Malukan pengacau-pengacau ini,” sorak beliau lagi.
Siti Kasim turut menyertakan tangkap layar ciapan @saysdotcom di laman Twitter yang berbunyi: “Setelah Sajat menyatakan bahawa dia akan tampil di The Ellen DeGeneres Show pada Januari tahun depan, JAIS menasihatkannya untuk tidak menjadikan hal tersebut isu antarabangsa.”
Sajat dilaporkan akan tampil dalam rancangan realiti terkemuka The Ellen Show, sebuah rancangan bual bicara Hollywood yang dikendalikan oleh Ellen DeGeneres.
Ellen DeGeneres adalah pelawak komedi dan pengacara televisyen yang masyhur sebagai selebriti berorientasikan seksual lesbian.
Rancangan The Ellen Show amat popular dan mampu mendapat tontonan sehingga 2.6 juta penonton pada satu masa.
Namun, rating rancangan tersebut semakin teruk sejak beberapa tahun lalu.
Bukan itu sahaja, The Ellen Show juga terlibat dengan kontroversi yang mendedahkan persekitaran kerja yang toksik. Berikutan itu, Ellen DeGeneres membuat permohonan maaf secara siaran langsung kepada mereka yang terkesan.
Sebelum itu sekitar Mei 2021, Ellen Degeneres mengumumkan mereka akan menamatkan rancangan pada tahun 2022.