JAIS Gantung Tugas Guru KAFA Tolak Vaksin
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SELANGOR, 28 Mac 2022 – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengambil tindakan tegas terhadap guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor dengan menggantung tugas selama dua bulan jika mereka masih enggan mendapatkan dua dos vaksin COVID-19, lapor Sinar Harian.
Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, jika pihak berkenaan masih belum melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 sepanjang tempoh penggantungan, mereka boleh ditamatkan perkhidmatan dengan serta-merta.
Tempoh penggantungan yang dikenakan adalah bagi memberi peluang kepada guru-guru tersebut untuk melengkapkan pengambilan dos vaksin COVID-19.
Tambah beliau, tindakan itu berpandukan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang pernah mengingatkan perkara sama kepada para pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksinasi.
“Ini isu lama berkenaan titah baginda yang mengarahkan guru-guru KAFA wajib ambil vaksin. JAIS juga ada keluarkan pekeliling, semua peluang kita beri.”
“Tapi mereka tidak mahu ikut, maka mereka digantung tugas selama dua bulan,” jelas beliau mengenai hal tersebut.
Namun yang demikian, masih ada segelintir pihak yang tidak mahu akur dengan ketetapan yang ditetapkan peringkat negeri malah, mengikuti arahan daripada kerajaan Persekutuan secara terus.
“Jadi, ini tidak bagus sebab mungkin JAIS sudah terlalu berlembut tentang perkara ini.”
“Kita boleh gantung (tugas guru KAFA) lebih lama, tapi kita tidak mahu kerana ia memberi kesan kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP),” ujar beliau dengan tegas.