Tempatan

JAIP Lupus 10 Tan Abu Al-Quran Di Perairan Pahang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 13 Jun 2024 – Sebanyak 10 tan abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci dilupuskan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di perairan negeri ini, hari ini, menurut laporan berita tempatan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan, program pelupusan berkenaan mendapat kerjasama sepenuhnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di Tanjung Gelang.

Jelas beliau, KD Pahang digunakan untuk membawa 10 tan bongkah abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci yang sebelum ini diproses di Kompleks Pemuliaan al-Quran di Chenor, Maran dan Pekan.

Bongkah abu seberat antara empat hingga lima kilogram (kg) setiap satu dikatakan disimpan dalam kontena di dua kompleks terbabit sebelum diletakkan dalam 19 guni besar seberat antara 500 hingga 600 kilogram (kg) setiap satu sebelum ditempatkan di KD Pahang, petang semalam.

“Sebanyak 5.2 tan bongkah abu diambil di Chenor, selebihnya dari Pekan yang sebelum ini kita membuat pelupusan sebanyak dua tan di perairan Pekan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Pahang.

“Bagi Kompleks Pemuliaan al-Quran di Chenor yang terbesar di negara ini, ia adalah program pelupusan kali pertama dilakukan selepas kompleks berkenaan beroperasi tahun lalu yang mampu melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci sebanyak satu tan seminggu,” kata beliau.

Program pelupusan tersebut diketuai oleh Pengarah JAIP, Datuk Dr Zulkifle Ali.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: