JAIP Kumpul Dan Lupuskan Al-Quran Rosak Akibat Banjir
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUANTAN, 28 Disember 2021 – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan melaksanakan proses mengutip dan mengumpul naskah al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir di negeri ini bagi tujuan pelupusan, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan.
Tambah beliau, usaha tersebut dilaksanakan bagi tujuan pelupusan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh syarak dan memelihara kemuliaan al-Quran serta bahan bercetak yang mengandungi ayat al-Quran.
“Semua naskhah al-Quran yang dikutip dan dikumpulkan secara berperingkat itu akan dilupuskan di pusat pelupusan di Kampung Temin, Jerantut dan abu bahan bakar itu dilepaskan ke laut.”
Justeru, JAIP meminta orang ramai yang memiliki al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir dikumpul di masjid kariah atau surau setempat sebelum pihak mereka mengutipnya untuk proses pelupusan.
Noridzuan Abdul Manan menjelaskan, dalam kejadian banjir awal Januari lalu, usaha tersebut dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti mengumpul al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak kemudian diserahkan kepada JAIP.
Sebanyak lebih 15 tan al-Quran rosak di seluruh negeri Pahang telah dilupuskan oleh JAIP atas usaha tersebut.