JAIM Keluarkan SOP Baharu Jemaah Masjid dan Surau
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
MELAKA, 17 Jun 2021 – Kerajaan Melaka melalui Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membenarkan 100 jemaah solat Jumaat bagi tujuh masjid kerajaan dan 50 orang di masjid dan surau Jumaat di kariah seluruh negeri, mulai esok.
“Berdasarkan situasi semasa, Kerajaan Melaka melalui keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Melaka yang bersidang pada 16 Jun 2021 bersetuju mengeluarkan ketetapan baharu berkaitan jumlah maksimum jemaah solat Jumaat,” kata Pengarah JAIM, Datuk Che Shukri Che Mat.
Tujuh masjid kerajaan ialah masjid yang ditadbir secara terus oleh JAIM, manakala masjid dan surau Jumaat (surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat) adalah yang ditadbir oleh pengerusi dan ahli jawatankuasa (AJK) dipilih anak kariah masing-masing.
Namun, jemaah solat fardu dan solat jenazah kekal 12 orang seperti yang ditetapkan sejak sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu.
Dan aktiviti lain di masjid juga masih ditangguhkan, iaitu majlis bacaan surah Yaasin dan tahlil, ceramah agama, akad nikah, kursus, bengkel, jamuan dan gotong-royong.
“JAIM berhak menarik semula kebenaran itu jika masjid atau surau didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berkaitan pandemik COVID-19,” katanya.
Dalam masa yang sama, JAIM meminta masjid dan surau memperdengarkan bacaan surah Yaasin dan surah lain serta doa memohon Allah melindungi rakyat daripada pandemik COVID-19 mulai 29 Mei lalu.
Surah Yaasin dan doa harus diperdengarkan melalui alat pembesar suara selepas solat Maghrib.
Surah lain dan doa harus diperdengarkan selepas solat fardu yang lain manakala imam harus membaca doa qunut nazilah pada rakaat akhir solat Subuh, Isyak dan Jumaat.