NGO

‘JAGA ALLAH DAN JAGA RASULULLAH’!

Sollu ‘alan Nabiy

‘JAGA ALLAH DAN JAGA RASULULLAH’!

1. Apabila Syarif Muhammad al Baghdadi memerintah sebuah kerajaan Islam yang berpusat di Kota Temir, Terengganu dengan keluasan hanya 300 ekar sahaja, namun di bawah kerajaan inilah dibangunkan perundangan Islam yang dipahatkan dalam Batu Bersurat Terengganu, antaranya hukum hakam agama termasuk hukuman hudud terhadap penzina. Sebagai Ketua Agama bagi kerajaannya, Syarif Muhammad al Baghdadi memegang amanah sebagai Zilullahi fil ardhi (bayangan Allah di mukabumi) dengan ‘menjaga Allah’ dalam menegakkan hukum-hakamNya, tidak pedulilah keluasan kerajaannya yang kecil. AMANAH TETAP AMANAH.

2. Apabila Raja Kechil Besar menganut agama Islam dari tangan mulia Syed Abdul Aziz dan menjadi Sultan Melaka bergelar Sultan Muhammad Shah, maka dibangunkan Hukum Kanun Melaka yang mengiktiraf Islam sebagai undang-undang watan bersumber al Quran dan as Sunnah dalam kerajaan baginda. Hukum Kanun Melaka disempurnakan oleh Sultan Muzaffar Shah. Di dalamnya terkandung hukuman jenayah Islam seperti curi, zina, qazaf, murtad dan minum arak, terkandung dalam Fasal-fasal 7, 11, 12,41,45 dan 47. Manakala para ulama daripada dunia Arab, Farsi dan tempat-tempat lain telah dibawa ke Melaka dan seluruh jajahan takluknya untuk mengajar agama Islam. Sesungguhnya rakyat Melaka menjadi saksi bahawa kebanyakan Sultan-Sultan Melaka telah memegang amanah ‘menjaga Allah’ dalam masa pemerintahan baginda.

3. Apabila kuasa Portugis membuat onar terhadap umat Islam, membunuh jemaah haji di Teluk Oman, menghancurkan 300 masjid di Afrika, membunuh ribuan umat Islam di Calicat dalam tahun 1509, dan merencanakan komplot menawan Madinah dan mencuri jasad Rasulullah SAW bagi digunakan sebagai tebusan untuk mengambil kembali kota Jerusalem, Kesultanan Melaka telah bersiap sedia untuk ‘menjaga Allah’ sehingga berlakulah peristiwa penghambatan Portugis dalam tahun 1509 dan perang melawan Portugis tahun 1511 sehingga Kota Melaka menjadi tawanan kuasa Kristian Barat itu selama lebih 100 tahun.

Namun sepanjang kekuasaannya di Melaka, Portugis tidak pernah tenteram daripada gugatan gerakan-gerakan jihad daripada kesultanan-kesultanan lain di Alam Melayu, sama ada secara sendirian mahupun bergabung, antaranya Demak, Cirebon, Acheh, Pattani, Johor dan banyak lagi. Ketabahan serta kecekalan yang berbekalkan semangat jihad menjadi tenaga penggerak yang keramat kepada kesemua kesultanan-kesultanan Alam Melayu untuk bangkit menghadapi ancaman kaum Kristian yang berpotensi menghancurkan masa depan Islam jika tidak segera dibendung dan dipertahankan dengan harta dan nyawa. Ianya menjadi kubu kebal yang paling berkesan dalam melindungi keimanan orang-orang Islam.

Menarik untuk dihailaitkan peristiwa serangan hulubalang Melayu Johor dalam tahun 1641 M yang berhasil meruntuhkan kubu A Famosa yang sangat kukuh itu. Menurut kitab Hikayat Hang Tuah:

“Dato Sekudai telah memerintahkan dipasang sigai pada kubu Famosa, lalu bersama-sama dengan hulubalang Johor memanjat sigai itu dan menyerbu ke dalam benteng, hanya dengan bercawat sahaja. Ramai pahlawan Melayu yang gugur kerana dibedil dengan penggada yang berduri seperti durian, dengan pahat dan beliung, namun hulubalang Johor, naik juga dan naik terus, bertimbun mayat jatuh bergelimpangan namun yang lain terus naik sehingga sampai ke atas kubu. Dato Sekudai sendiri dapat memimpin anak buahnya masuk ke dalam kubu, dan beramuk-amukan menyerang Portugis sehingga habislah mati dan jatuhlah benteng Portugis yang berdiri megah untuk lebih 130 tahun lamanya”.

Betapa hebatnya umat Islam Nusantara ‘menjaga Allah’ di masa itu!

4. Kesultanan-kesultanan lain di Semenanjung Tanah Melayu meneruskan legasi kesultanan Melayu Melaka dengan membangunkan perundangan Islam di negeri masing-masing.Hukum Kanun Pahang, Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Kedah, Itqanul Muluk, dan sebagainya. Sekiranya diteliti undang-undang bertulis pasca Hukum Kanun Melaka, peruntukan bercirikan khalifah serta berprinsipkan keadilan dan amalan syura dikekalkan (Wan Ahmad Fauzi,2021: 184).

Bermakna urusan ‘menjaga Allah’ tetap diteruskan oleh kerajaan-kerajaan Melayu pasca Kesultanan Melaka.

5. Apabila berlakunya Perang Musuh Bisik di antara Kedah dengan Siam dalam abad ke 19 Masihi, khususnya dalam tahun 1838, yang diketuai oleh Tunku Muhammad Saad, Tok Morris, Laksamana Wan Mali dengan bantuan tentera daripada Acheh, Serdang, Deli, Berdage, Siak, Pahang, Terengganu dan Kelantan seramai 10, 000 orang, Tunku Muhammad Saad telah mengeluarkan kata-kata hikmat berikut:

“Kami telah menawan Kedah yang merupakan hak milik kami yang sebenarnya. Tiada undang-undang yang boleh memansuhkannya dan selagi kami dapat menghunuskan pedang atau memegang lembing, kami akan mengekalkan warisan yang diperturunkan oleh nenek moyang kami”.

Betapa hebatnya nenek moyang kita dalam ‘menjaga Allah’ pada masa itu, sehingga menggerunkan musuh agama dan bangsa. Harus diingat, hakikatnya urusan menjaga negara dan umat Islam daripada serangan kaum kuffar adalah hakikatnya ‘menjaga Allah!’

6. Dedikasi, semangat dan kegigihan umat Islam dalam ‘menjaga Allah’ terus dibuktikan dalam era campur tangan British di Tanah Melayu di abad ke 19 Masihi, melalui sistem politik tradisional, pendidikan dan perundangan berteraskan Islam dan Adat Melayu bersendi kitabullah. Elemen-elemen Kristianisasi yang wujud di kalangan kuasa British telah gagal dalam agenda Kristianisasi mereka. Menurut satu catatan (Report the Secretary of the Colonies, Arthur Creech Jones (1946-1950), National Archives, UK “…Kita tidak berjaya mendakyahkan Kristian pada penduduk Tanah Melayu”.

Menurut Pendeta Za’aba: “Semenjak orang-orang Melayu memeluk agama Islam sehingga ke hari ini, mereka amat setia dan amat keras pegangannya pada agama yang mereka anuti ini (Islam). Walaupun mereka jahil banyak dari segi pengamalan dan kefahaman agama, namun mereka tetap menganggap bahawa itulah satu-satunya agama yang terbaik dan benar, dan tidak ada apapun hujjah ataupun pujukan dari orang kafir yang boleh mengubah sikap mereka yang demikian itu.”

Hebatnya bangsa Melayu dalam ‘menjaga Allah’!

7. Nama-nama pejuang Melayu seperti Raja Haji Fisabillah, Syeikh Abdul Samad al Falembani, Syeikh Wan Daud al-Fatoni, Syeikh Wan Ahmad al Fatoni, Tok Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Hj Abdul Rahman Limbong, Kiyai Saleh dari panglima selempang Merah dan ramai lagi merupakan pejuang watan waktu itu yang ‘menjaga Allah’ sehingga ada yang terkorban syahid.

Hebatnya pejuang Melayu ‘menjaga Allah’!

8. Apabila kuasa British cuba mendapatkan bidang kuasa Raja-Raja Melayu dan ingin memusatkan kuasa pada Gabenor British di peringkat tertinggi melalui pembentukan Malayan Union dalam tahun 1945 yang akan memberikan kesan yang buruk kepada agama Islam dan bangsa Melayu sebagai bangsa pendokong agama, maka orang-orang Melayu dari pelbagai lapisan masyarakat, bersama Raja-Raja Melayu telah mara menentang dengan satu kesatuan dan kekuatan jitu yang luar biasa, menolak sekeras-kerasnya hasrat British sehingga tidak berapa lama kemudian terkuburlah Malayan Union.

Betapa hebatnya orang Melayu ‘menjaga Allah’!

9. Ringkasnya, apabila orang-orang Kristian Barat seperti Portugis, Belanda, Sepanyol dan British muncul di Alam Melayu dengan melakukan provokasi fizikal, seperti membakar masjid-masjid, menjarah makam ulama & umara, membakar kitab suci al-Quran, membunuh umat Islam, merampas harta-benda mereka, melakukan diskriminasi pada pedagang Islam, memusnahkan hasil-hasil pertanian umat Islam, merosakkan kapal-kapal layar, mendakyahkan agama Kristian, merampas serta membawa perbendaharaan kerajaan-kerajaan Alam Melayu kembali ke negara-negara mereka, umat Isam dari seluruh Nusantara menghimpun kekuatan mereka untuk MENJAGA AGAMA ALLAH dengan perang fisabilillah sehingga ke titisan darah terakhir.

10. Namun, bermula abad ke 20-21 Masihi menyaksikan kembali kemunculan agresor daripada musuh-musuh Islam yang dendamnya belum kunjung padam untuk memalapkan cahaya Islam di bumi Melayu. Mereka kembali lagi dengan provokasi dalam bentuk dan wajah baru. Kali ini mereka muncul dengan wajah-wajah yang berlainan, ramai telah kini menjadi ‘anak-anak negeri’, namun kesumat, pemikiran serta agenda mereka tetap sama, iaitu untuk ‘menghancurkan Islam’, cuma kali ini ‘ dari dalam’…

Kali ini mereka tidak melakukan serangan secara fizikal, tapi dengan cara yang lebih canggih, halus dan licik, iaitu dengan ‘memandulkan’ pasak-pasak kekuatan watan warisan nenek moyang kita. Mereka menyemai benih-benih perpecahan melalui sistem demokrasi sekular, melemahkan jati diri umat Islam dengan umpanan sistem pendidikan sekular Barat, mentancapkan naratif sekular liberal mereka sehingga perundangan negara disalah tafsir melalui faham Barat dan bukan melalui faham nenek moyang kita yang berteraskan al Quran dan as Sunnah.

Kali ini mereka bertindak lebih bijak, secara aktif menyuntik virus yang amat beracun dalam bidang PENDIDIKAN, POLITIK, EKONOMI DAN PERUNDANGAN negara sehingga kini telah luka membarah. Satu demi satu pasak-pasak kekuatan bangsa dicabut-cabut, kunci-kunci perbendaharaan negara dirampok secara hina, manakala tangan-tangan mereka yang berada dalam posisi amanah dirantai dan dibelenggu dengan kegilaan umpanan kuasa, harta dan wanita.

11. Ahli hikmah menasihati : “Belajarlah dari sejarah, kerana jika kamu enggan belajar dari sejarah, tunggulah, sejarah akan kembali menghukum kamu”. Umat Islam di negara ini, khususnya orang Melayu sebagai bangsa pendokong agama perlu bangkit, kembali ‘menjaga Allah’ sebagaimana nenek moyang kita yang telah menumpahkan keringat, air mata hatta berkorban nyawa demi menjaga pusaka Tanah Melayu.

Dan sebesar-besar amanah menjaga pusaka sakral warisan nenek moyang kita di bumi bertuah ini adalah ‘MENJAGA ALLAH S.W.T DAN RASULULLAH S.A.W’, inilah jantung, urat nadi dan darah daging bangsa kita, sebagai sebuah bangsa yang pernah mulia, hebat dan berperadaban gemilang.

12. Ingatlah, perang musuh agama dan bangsa dalam negara kita di era moden ini bukan dibuat secara fizikal, tetapi dengan cara ‘memandulkan’ teras -teras kekuatan negara kita, dan cara kita menyikapi tipu daya mereka juga memerlukan pemahaman dan strategi yang bijak dan berpandangan jauh. Sayyidina Umar al Khattab pernah menyuarakan kebimbangannya:

“Aku khuatir mereka yang dibesarkan dan dididik dalam Islam tetapi tidak mempunyai ilmu tentang cara hidup (tipu daya) orang-orang musyrik akan meruntuhkan Islam itu sendiri”!

13. Ingat kembali ungkapan kata-kata hikmat daripada Tunku Muhammad Saad dalam peristiwa Perang Musuh Bisik di Kedah, manakala saya ingin menambah:

“Kami akan mengekalkan warisan yang diperturunkan oleh nenek moyang kami, kerana warisan terbesar yang diperturunkan kepada kami oleh nenek moyang kami adalah kemuliaan AMANAH MENJAGA ALLAH DAN RASULULLAH DI BUMI BERTUAH INI”.

Moga Allah memberikan kita pertolongan yang kuat, amiin ya Robbal ‘alamiin. Al Fatihah kepada semua pejuang watan.

[email protected] Suzana Hj Othman
Pengerusi
Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam
(KEMUDI)

Pautan Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1788374788008021&id=100005065508772

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button