Tempatan

JAG Tuntut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Letak Jawatan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 16 Februari 2022 – Pertubuhan Joint Action Group for Gender Equality (JAG) mengeluarkan kenyataan media mendesak supaya Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

JAG menggesa Siti Zailah untuk meletakkan jawatan kerana mengeluarkan sebuah kenyataan yang menormalisasikan keganasan rumah tangga dalam sebuah video yang tular baru-baru ini.

“Timbalan Menteri tersebut perlu meletakkan jawatan kerana menormalisasikan keganasan rumah tangga, yang merupakan sebuah jenayah di Malaysia, selain menyebarkan pemahaman dan sikap yang bertentangan dengan dasar kesamarataan jantina,” tegas JAG dalam kenyataan media mereka yang disiarkan portal BFM.

Video yang berdurasi 2 minit tersebut telah dimuatnaik Siti Zailah di laman Instagram beliau menyatakan bahawa suami boleh menggunakan ‘sentuhan fizikal yang lembut tetapi tegas’ untuk mendidik isteri.

“Kita boleh menggunakan cara sentuhan fizikal yang lembut, yang mendidik dengan penuh kasih sayang, yang tidak menyakitkan tetapi menunjukkan ketegasan kita,” ujar Timbalan Menteri tersebut dalam video berkenaan.

Terdahulu, bekas Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa turut menempelak Siti Zailah menyatakan bahawa Timbalan Menteri tersebut tidak tahu bagaimana melaksanakan bidang tugas beliau.

“Tidak wajar untuk (timbalan) menteri ataupun seorang wanita untuk bagi nasihat secara umum tentang bagaimana suami patut mendidik isteri mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa dia tak tahu apa fungsi dia dan cuba untuk jadi sesuatu yang lain’” katanya seperti yang dilaporkan portal Free Malaysia Today.

Leave a Reply

Back to top button