Tempatan

Jadikan Pengetahuan Umum Sebab Kes Pulau Batu Putih Tidak Diteruskan – Sultan Johor

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JOHOR, 17 Mei 2022 – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menegaskan kepada Pasukan Petugas Khas agar sebab-sebab kerajaan Dr Mahathir yang tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Pulau Batu Putih di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dijadikan pengetahuan umum.

Hal ini kerana, keputusan itu diibaratkan seperti mengaku kalah sebelum memasuki gelanggang di ICJ berikutan bukti baharu telah ditemukan dan ia membuatkannya memihak kepada Malaysia.

“Ini adalah soal kedaulatan negeri Johor. Rakyat Johor berhak untuk mengetahui mengapa kerajaan PH (Pakatan Harapan) mengambil keputusan sedemikian,” titah Baginda kelmarin.

Kelmarin, Sultan Ibrahim berkenan untuk menerima laporan daripada Pasukan Petugas Khas bagi menyemak isu dan tindakan perundangan berkenaan kes pulau Batu Putih, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Laporan itu dipersembah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Pengerusi Pasukan Petugas Khas tersebut iaitu Mohamed Apandi Ali sekaligus memberikan taklimat kepada Sultan Ibrahim di Istana Polo, Johor Bahru.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim turut berangkat ke pertemuan itu.

Hadir bersama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pada 2018, Kerajaan Persekutuan sewaktu pentadbiran Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Pulau Batu Putih di ICJ.

Berikutan itu, Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan atas persetujuan Kabinet pada 29 Oktober lalu.

“Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil? Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu?” soal Sultan Ibrahim dalam kenyataannya tahun lalu.

Leave a Reply

Back to top button