Tempatan

Nazir Razak Elitis dan Ketinggalan Zaman – Prof Shamsul Amri Baharuddin

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dalam sebuah kolum di laman Astro Awani menyifatkan Nazir Razak sebagai seorang yang elitis dan ketinggalan zaman.

Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) itu turut mengemukakan hujah-hujah mengapa beliau berpendapat sedemikian.

Pertama, beliau membidas cadangan Nazir Razak untuk menubuhkan majlis musyawarah (perbincangan) berasaskan konsep Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) kerana menurut beliau keadaan sosial, politik dan ekonomi kini jauh berbeza dibandingkan dengan zaman penubuhan MAGERAN dahulu.

“Saranan Nazir Razak ini, yang diuar-uarkan secara terbuka pertama kali dalam Forum Khazanah pada 5 Oktober 2015 adalah out-of-date dan out-of-context kerana sekarang adalah era ‘bertikam lidah, bukan berparangan’ atau ‘talk conflict, walk cohesion’,” kata Profesor Dr Shamsul.

Kedua, beliau mempersoalkan bagaimana Nazir Razak boleh mencadangkan penubuhan National Consultative Council 2 (NCC2) pada tahun 2015 sedangkan kerajaan telahpun menubuhkan National Unity Consultative Council (NUCC) pada 2013. Beliau menyifatkannya sebagai sesuatu yang terpisah dari realiti negara.

“Bagaimanakah pasukan penyelidik Nazir Razak yang berpangkalan di Oxford University, UK dan kelompok bijak pandai yang membuntuti beliau berbincang mengenai saranan ini pada 10 Jun 2018 langsung buta maklumat mengenai peristiwa di tanah air…” soal Pengarah dan Pengasas, Institut Pengajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu lagi.

“Maknanya landasan dan kerangka pemikiran kelompok bijak pandai yang mengiringi Nazir Razak bergerak di suatu ruang yang berbeza seolah-olah di awang-awangan, atau elitis dan feudal…” tambah beliau.

Ketiga, berbagai lagi kegiatan akar umbi bebas campur tangan politik pemerintah telah dilaksanakan oleh rakyat pada peringkat akar umbi.

Namun, ia diketepikan oleh pemerhatian Nazir Razak dan sekongkolnya yang bersifat pesimis lagi elitis mengenai keadaan rakyat Malaysia.

Menurut Profesor Dr Shamsul, dasar yang disarankan Nazir Razak ini seolah-olah memperkecilkan usaha ke arah perpaduan rakyat Malaysia di peringkat akar umbi.

Kerana itulah, “Nazir Razak dan sekongkolannya harus turun padang bersama rakyat dan mendapatkan maklum balas dalam menganjurkan idea majlis musyawarah beliau ini, bukan hanya melibatkan 55 warganegara Malaysia dan Raja-Raja Melayu,” tegas beliau.

Baru-baru ini Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Nazir Tun Razak bersama 54 tokoh politik, akademik, ekonomi, kesihatan dan undang-undang telah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mencadangkan kerajaan mewujudkan “Better Malaysia Assembly” dalam ‘membina semula’ Malaysia.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: