Isu Pemerdagangan Tenaga Kerja Malaysia: Junta Tentera Myanmar Angkuh & Sombong
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 11 Oktober 2022 – “Kesombongan Kedutaan Myanmar tidak membenarkan kita menghantar memorandum, tidak membenarkan kita berjumpa dengan wakil, kita tak dilayan langsung oleh Kedutaan Myanmar di Malaysia. Ini menunjukkan betapa sombong dan angkuhnya Myanmar ini!” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, Datuk Hishamuddin Hashim dalam satu kenyataan media baru-baru ini selepas selesai menyerahkan memorandum kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meminta campur tangan badan dunia itu terhadap isu pemerdagangan tenaga kerja Malaysia.
Mengulas lanjut, Datuk Hishamuddin menyatakan bahawa Myanmar merupakan satu-satunya negara antara Laos dan Cambodia yang tidak memberikan kerjasama dengan Kedutaan Malaysia untuk membantu dalam misi-misi menyelamat rakyat Malaysia di sana.
“Sombong, angkuh, berpura-pura seperti buta dan juga tuli, membiarkan orang-orang diperlakukan dengan begitu kejam!” kata beliau lagi.
Menurutnya, pihak mereka dimaklumkan bahawa lebih daripada 260 orang rakyat Malaysia telah diselamatkan daripada Cambodia. Mereka juga dimaklumkan bahawa lima orang daripada Laos telah berjaya diselamatkan baru-baru ini.
“Malangnya, perkara ini tidak berlaku di Myanmar! Kita tidak mendengar sebarang statement daripada Presiden Myanmar ataupun Perdana Menteri Myanmar yang menceritakan bagaimana situasi untuk membantu Kedutaan Malaysia di Myanmar untuk menyelamatkan rakyat Malaysia di Myanmar.”
Tegasnya, mereka tidak mahu menceroboh kedaulatan Myanmar, tetapi ini bukan isu dalaman.
Ini isu rakyat kita, Malaysia terperangkap di Myanmar. Kita di sini menjaga keselamatan rakyat Myanmar. Kita tidak pernah menyeksa rakyat Myanmar, menjual ataupun mendagangkan rakyat Myanmar. Kita tidak pernah membunuh rakyat Myanmar.
“Mengapakah Myanmar tidak berbuat demikian kepada rakyat kita? Rakyat kita dipukul, dikurung, dijual, dilacurkan dan dibunuh, tetapi kerajaan Myanmar sunyi dan sepi seolah-olah tidak ada apa-apa kejadian yang berlaku,” kata beliau lagi.
Tambah Datuk Hishamuddin, selagimana adanya hab pemerdagangan manusia di Myanmar, yang seolah-olah dilindungi oleh kerajaan tentera junta Myanmar, selagi itu ASEAN berada dalam keadaan tidak selamat.
“Saya dengan hari ini mengatakan bahawa, apa sahaja yang berlaku, sama ada kematian, sama ada penyeksaan, yang berlaku di Myanmar, yang bertanggungjawab adalah kerajaan Myanmar!” katanya lagi.