NGO

ISU PEMBATALAN ORDINAN DARURAT TANPA PERKENAN YANG DI-PERTUAN AGONG – PEMBELA

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KENYATAAN MEDIA

1. PEMBELA merujuk kepada kenyataan pihak kerajaan mengenai pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat semasa Sidang Khas Parlimen pada hari Isnin, 26 Julai 2021 baru-baru ini.

2. Pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut yang didakwa berkuatkuasa mulai 21 Julai 2021 yang lalu dibuat sebelum ianya dipersembah dan diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong sebagaimana yang sepatutnya seperti terkandung dalam Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

3. Sehubungan dengan itu, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada hari ini, 29 Julai 2021, dimana Yang Di-Pertuan Agong telah menzahirkan secara jelas akan kedukacitaan baginda terhadap keputusan kerajaan yang membelakangi baginda kerana baginda tidak memberi pekenan terhadap pembatalan ordinan-ordinan tersebut.

4. PEMBELA berpendirian bahawa hal ini adalah suatu perkara yang sangat serius kerana ia bukan sahaja telah membelakangkan Yang Di-Pertuan Agong, malah mengelirukan sidang parlimen secara khusus dan rakyat keseluruhan secara amnya. Bukan itu sahaja, PEMBELA khuatir jika pihak Kerajaan telah melakukan sesuatu di luar bidang kuasa mereka.

5. Sehubungan dengan itu, PEMBELA menuntut agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) dan Peguam Negara memohon menghadap untuk meminta ampun maaf kepada Yang Di-Pertuan Agong di atas kesilapan yang dilakukan sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dan bagi memelihara keluhuran perlembagaan serta kesetian kepada Raja-Raja.

6. PEMBELA juga menasihati kerajaan agar lebih berhati-hati dan mendapat pandangan pelbagai pihak sebelum membuat apa-apa tindakan dan kenyataan yang akan menjejaskan ketenteraman dan keyakinan rakyat serta kestabilan negara.

7. Akhirnya, PEMBELA menegaskan agar kesemua pihak mesti menjalankan kuasa dan amanah menurut kerangka Perlembagaan Persekutuan, tidak mencampur-aduk ataupun bertindak secara ultra vires.

Sekian, Daulat Tuanku

Aminuddin Yahaya
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button