Isu Nama Suci Allah: Sultan Titah Ke MKI Sebelum Dipersembahkan Kepada Majlis Raja-Raja
KUALA LUMPUR, 08 Jun 2023 – Isu penggunaan kalimah Allah oleh individu bukan Islam di Malaysia akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Oktober ini.
“Selepas berbincang dengan DYMM Sultan Selangor, saya menghormati pandangan Duli Yang Maha Mulia selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada Mei bahawa isu penggunaan kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak adalah lebih sesuai untuk diperkemaskan dan dijelaskan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang mempunyai peranan untuk menasihati Majlis Raja-Raja.”
BACA JUGA: Demam Malaria Monyet, Tiada Bukti Mampu Jangkiti Manusia
BACA JUGA: Subsidi Negara Hangus Ditelan Warga Asing
BACA JUGA: Kesan Sampingan Vaksin Covid-19, Kerajaan Bayar RM2.5 Juta Pampasan Setakat Ini
“Sehubungan dengan itu, Duli Yang Maha Mulia selaku pengerusi MKI telah berkenan perkara ini dibincangkan oleh majlis itu pada Ogos ini, sebelum dibawa untuk pertimbangan dan penelitian Majlis Raja-Raja Oktober ini,” kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selepas pertemuannya semalam dengan DYMM Sultan Selangor yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).
Jelas Anwar, pendirian Kerajaan Persekutuan adalah untuk mengiktiraf dan menggunakan dasar sedia ada yang mengehadkan penggunaan kalimah “Allah” kepada orang Islam di Semenanjung Malaysia dan memberi kelonggaran bersyarat bagi dasar ini untuk bukan Islam di Sabah dan Sarawak.
Semalam, DYMM Sultan Selangor menitahkan agar isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam perlu dimuktamadkan segera oleh pihak Kerajaan Malaysia dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.