Tempatan

Isu Kualiti Makanan Mangsa Banjir, KPWKM Beri Teguran

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BATU PAHAT, 07 Mac 2023 – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam hantaran di Facebook rasminya menyatakan bahawa pihaknya telah memberi teguran dan nasihat kepada pembekal berhubung isu kualiti makanan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam kawasan Yong Peng baru-baru ini.

BACA JUGA: Ustaz Wadi Annuar Tiada Tauliah Mengajar – JAIS

BACA JUGA: Projek Tebatan Banjir Disegerakan – PM

BACA JUGA: Isu UEC: TPM Dinasihat Jangan Ambil Kesempatan – CIJ

Ia adalah susulan daripada dakwaan Ahli Parlimen Ayer Hitam, YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkaitan kualiti makanan yang dibekalkan kepada mangsa banjir yang menduduki PPS di Sekolah Agama Taman Seri Kota Yong Peng, Johor pada 5 Mac 2023.

Menurut hantaran tersebut, hasil daripada siasatan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), perkara itu adalah berpunca daripada pembekal yang dilantik menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan bahan mentah berikutan banjir besar yang melanda.

Berikutan perkara yang berlaku, pihak JKM Batu Pahat telah memberi nasihat dan teguran kepada pembekal agar meningkatkan perkhidmatan menu makanan yang disediakan dengan mengikut kadar yang sepadan dengan harga yang telah dipersetujui.

“Pembekal telah diberi peluang terakhir untuk menambah baik mutu perkhidmatan sebelum tindakan selanjutnya diambil,” memetik kepada kenyataan itu.

Dalam hantaran yang sama, pihak JKM juga akan mengenal pasti pembekal bahan mentah yang boleh menyediakan bekalan dalam kadar segera.

Ia adalah sekiranya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah terlibat memutuskan agar makanan disediakan secara gotong royong, seperti yang dicadangkan oleh YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong.

“Namun begitu, perkara ini perlu mematuhi garis panduan dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” kata KPWKM lagi.

Sehubungan itu, KPWKM menasihatkan kesemua pembekal yang dilantik untuk membekalkan makanan di PPS di seluruh negara agar memberikan perkhidmatan yang terbaik serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan demi memastikan kebajikan mangsa banjir di PPS terpelihara.

Malah, KPWKM turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan pembekal yang cuai serta tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam memberikan perkhidmatan.

Baru-baru ini, YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong menyatakan kekecewaannya terhadap nasib yang diterima mangsa banjir di kawasan Yong Peng susulan bekalan makanan yang lambat tiba serta berada dalam keadaan yang kurang berkualiti.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: