Isu Kapal LCS: Kerajaan Madani Digesa Siasat Penyelewengan
KUALA LUMPUR, 31 Mei 2023 – Kerajaan digesa untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara terperinci isu penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS), memetik kepada kenyataan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali.
“ISU KAPAL LCS sudah menjadi bangkai berkulat. Seorang ahli PAC membuat kiraan dan mendakwa Kerajaan mengalami kerugian RM3.7 Bilion. Kehilangan wang negara ini sama seperti isu 1MDB.”
“Hampir RM6 bilion sudah dibayar sebelum ini tapi satu kapal pun tidak siap.”
Sebelum PRU-15, Pemimpin PH dan sekutunya menyerang seperti peluru roket berpandu terhadap Kerajaan ketika itu. Selepas PRU-15 dan setelah PH bersama BN menubuhkan Kerajaan, peluru roket berpandu menjadi meriam buluh yang tidak berbunyi lagi,” jelasnya.
BACA JUGA: Dakwaan Tuntutan Pewaris Sulu Ancam Keselamatan Negara, Polis Buka Siasatan
BACA JUGA: Harga Minyak RON95 Dijangka Naik Berperingkat
BACA JUGA: JAGA-JAGA, Malaysia Dijangka Dilanda Jerebu Teruk Bermula Jun
Beliau berkata, nasihat serta nota rasmi daripada Panglima Angkatan Laut, Laksamana Tan Sri Aziz pada ketika itu yang membantah anugerah projek kapal LCS kerana dibuat tidak mengikut prosedur dan keperluan tentera laut juga tidak diambilkira malah ditongsampahkan.
“Kerajaan Madani membuat keputusan untuk menambah peruntukan menjadikan kos satu kapal LCS berjumlah RM2.24 bilion dari RM1.5 bilion. Negara lain membina projek kapal LCS jauh lebih rendah dari Malaysia. Pastinya berlaku penyalahgunaan kuasa di mana tatakelola menjadi tata haru biru.”
“Oleh kerana ianya melibatkan satu lagi kerugian besar kepada negara dan ada kaitan dengan kepentingan keselamatan negara, MAKA PUTRA MENCABAR KERAJAAN MADANI JIKA BENAR-BENAR TELUS DAN BUKAN RETORIK UNTUK MEMBASMI RASUAH, TUBUHKAN SEGERA SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA (RCI) BAGI MENYIASAT SECARA TERPERINCI ISU PENYELEWENGAN PROJEK KAPAL LCS DAN LAPORANNYA HENDAKLAH DIBENTANGKAN DI PARLIMEN DAN UMUM UNTUK PENGETAHUAN RAKYAT SELURUH NEGARA. SIDANG RCI HENDAKLAH DIBUAT SECARA TERBUKA BAGI MEMBOLEHKAN RAKYAT MENGIKUTI DENGAN SEPENUHNYA,” tegas beliau dalam satu kenyataan.
Beliau justeru menyeru rakyat terutamanya para badan bukan Kerajaan (NGO) untuk bangkit bersama mendesak Kerajaan Madani agar menubuhkan segera RCI KAPAL LCS dengan melantik anggota-anggota yang berwibawa serta berintegriti bagi menyiasat secara terperinci mengenai projek kapal tempur LCS.
“Projek Kapal Tempur LCS amat memalukan negara kerana kalau bertempur tapi Kapal tidak ada, maka perahu nelayan akan angkat bendera putih. INILAH MORALNYA,” kata beliau mengakhiri kenyataan.