Tempatan

Isu Kalimah Allah Takkan Jadi Polemik Jika Masyarakat Faham Takrifan – Mufti Wilayah Persekutuan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 9 April 2021 – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah menyatakan, jika masyarakat faham mengenai takrifan dan fatwa kalimah Allah, maka isu ini tidak akan menjadi polemik.

“Apabila kita boleh menerima Allah itu sebagai mana ditakrifkan dan ia sudahpun difatwakan di kebanyakan negeri di Malaysia, termasuk di peringkat kebangsaan, maka sepatutnya tidak timbul isu lagi.”

Bagi beliau, pihak yang suka mempolemikkan isu berkenan harus ditangani supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam.

“Soal kalimah Allah, kita perlu pergi ke persoalan yang paling asas iaitu penerimaan orang Islam bahawa Allah adalah tuhan wajib disembah, maha esa dan tidak boleh disyirikkan.”

“Kalau itu dijadikan asas, maka apa-apa penggunaan yang lain selain daripada itu tentunya akan menimbulkan sensitiviti dalam kalangan orang Islam. Secara logiknya, kita boleh menerima apa yang berlaku, tetapi apa yang perlu difahami ialah sikap mempolemikkan isu itu, perlu juga ditangani.”

Menurut Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman pula, kalimah Allah mesti diutamakan demi kepentingan umat Islam supaya ia tidak disalahgunakan.

“Ia supaya kalimah itu tidak dipermainkan. Bukan (nak) larang orang bukan Islam sebut Allah sebab orang bukan Islam pun sebut Insya-Allah. Kita marah mereka sebab merosakkan akidah umat Islam tetapi kita kadang-kadang tak ambil kisah.”

Oleh itu, hakim perlulah membuat pertimbangan dari segi agama sebelum mengeluarkan keputusan mengenai kalimah Allah.

“Seorang hakim bukan sahaja meneliti apa-apa terdapat dalam undang-undang sahaja, tetapi mesti fikirkan undang-undang atas menjaga agama. Sebab perkara Allah mesti diutamakan untuk kepentingan umat Islam.”

“Itu perkara yang besar dan patut diambil perhatian sama ada hakim, peguam, orang politik dan pentadbir negara. Kita tak sedar apabila kita tingkatkan Hifzuddin (menjaga agama Islam), orang lain cuba menonjolkan negara bukan Islam. Ini negara Islam sepatutnya kita berbangga.”

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lepas memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Islam iaitu Baitullah, Kaabah dan Solat, dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 15 Mac lepas.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: