Isu Kalimah Allah: Kerajaan Tak Patut Campur Tangan, Biarkan Kepada Perundangan – Takiyuddin
KUALA LUMPUR, 24 Mei 2023 – “Yang keduanya, apabila kita tanya pula pendirian Kerajaan dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, atas asas apa beliau tarik balik kes ini. Sedangkan apabila ada satu-satu kes Mahkamah, kita sebagai Kerajaan memerlukan keputusan di Mahkamah yang tertinggi. Ini kes Mahkamah Tinggi. Sepatutnya dengar dulu Mahkamah Rayuan yang mempunyai minimum tiga orang hakim, kemudian tak puas hati tu, ke Mahkamah Persekutuan. Kenapa Kerajaan tidak mengambil langkah sebegitu?”
Ini persoalan yang dilontarkan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Kota Bharu kepada Kerajaan Madani dan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam satu sesi sidang media di luar Dewan Rakyat semalam dalam isu penarikan balik rayuan kes kalimah Allah oleh Kerajaan dan Menteri Dalam Negeri.
BACA JUGA: Kalimah Allah: PM Janji Semak & Selaraskan Semua Undang-Undang Selari Titah Majlis Raja-Raja
BACA JUGA: Kerajaan Anwar Gagal Pertahan Aspirasi Umat Islam – MP Pokok Sena
BACA JUGA: Jemaah Visa Umrah Wajib Keluar Tanah Haram Selewatnya 18 Jun Ini
Tegasnya, dalam soal ini, Kerajaan sepatutnya membiarkan undang-undang mengambil tempatnya sendiri.
“Jadi dalam undang-undang ini, let law take its own course. Biarlah undang-undang itu mengambil tempatnya sendiri. Biar Mahkamah buat keputusan. Kerajaan tak boleh campur. Kalau Kerajaan sebagai eksekutif campur tangan dalam Judiciary, inilah yang menjadi masalah.”
Dalam sidang Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan Kerajaan akan memperkemas semua undang-undang berkaitan penggunaan kalimah Allah selari dengan titah Majlis Raja-Raja Melayu.
Jawapan ini diberikan susulan soalan yang diajukan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad yang mahu mengetahui sama ada Kerajaan sudah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu dan berunding dengan Majlis-MajlisAgama negeri terlebih dahulu sebelum memutuskan menarik balik rayuan kes tersebut.