Tempatan

Isu JAKIM: Tindakan Jatuhkan Institusi Islam Bertujuan Menghilangkan Syiar Islam – Profesor Shamrahayu

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 Februari 2022 – “JAKIM adalah satu organisasi yang ditubuhkan mengikut lunas-lunas dan peruntukan-peruntukan bersandarkan Perlembagaan Persekutuan. Maka, tidak timbul pun soal ia berperlembagaan atau tidak,” ujar Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab. Aziz.

Ujar beliau, kita tahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam kemajuan dan perkembangan Islam di Malaysia.

JAKIM juga sangat sinonim dan tidak lekang di bibir selain menjadi perhatian dari warganegara Malaysia. Ini menunjukkan JAKIM telah melaksanakan peranannya dengan baik sehingga melekat di hati dan di jiwa masyarakat.

Tambah Profesor Shamrahayu, sebagai badan urusetia yang melaksanakan hal ehwal Islam berkaitan pendidikan, perundangan dan juga pentadbiran Islam sama ada di peringkat Negeri atau di peringkat Persekutuan, JAKIM telah banyak melakukan pembaharuan dan kegemilangan.

Pembaharuan yang dilakukan bukan sahaja khusus untuk umat Islam bahkan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Kata beliau lagi, sekiranya kita mempunyai Islam dalam Perlembagaan, sumpah YDPA dalam Perlembagaan, tetapi kita tidak ada mekanisme untuk merealisasikan dan memanifestasikan perlaksanaan Islam, maka kita tidak akan mendapat manfaat daripada itu.

“Jadi di sini, JAKIM atau awalnya yang ditubuh sebagai urusetia kepada mana-mana Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ialah untuk menghubungkan atau berperanan sebagai perantara antara Negeri dengan Persekutuan.”

Ulas beliau lagi, apabila diperlukan instrumen untuk menjalankan tanggungjawab Persekutuan, JAKIM ditubuhkan untuk menyelaras apa yang berkaitan dengan pembangunan dan kemajuan Islam.

Hal ini menerusi sistem yang kita sokong dan dokong serta akan dijunjung selama-lamanya iaitu Kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam.

Penubuhan JAKIM itu juga selaras dengan hak kebebasan orang Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 11(1) untuk mengembangkan ajaran Islam.

Atas prinsip keluhuran Perlembagaan, kedudukan di atas perlu dihormati dan dijunjung tinggi oleh setiap warganegara Malaysia.

Kata Profesor Shamrahayu, cubaan mendakwa JAKIM sebagai tidak berpelembagaan ini hanyalah bertujuan menjatuhkan kepercayaan rakyat terhadap Institusi Islam negara ini.

“Sebenarnya tuduhan itu hanyalah persepsi segelintir pihak terhadap JAKIM sahaja.”

“Saya percaya seluruh umat Islam ini merasakan JAKIM adalah satu institusi yang sangat agung yang memerlukan penghormatan teragung.”

Rakyat perlu menyuarakan sokongan dan perlu diberi penjelasan sekiranya masih ada yang tidak tahu.

Adanya provokasi mengatakan JAKIM ini tidak berperlembagaan sebenarnya memberi satu kesedaran untuk JAKIM lebih mempromosikan diri dalam ertikata apakah kebaikannya kepada umat Islam yang telah dilakukan.

Saya juga percaya apa yang berlaku mesti ada tujuannya. Misalnya, untuk menjatuhkan Institusi Islam seterusnya menghilangkan syiar Islam.

Bagaimanapun, persepsi, tanggapan, dakwaan dan tuduhan-tuduhan liar begini tidak perlu pun dalam masyarakat kita.

Kesempurnaan itu tidak ada tetapi kita meraikan kemakmuran sedia ada. Sudah tentu, tujuan kita menerangkan kedudukan JAKIM ini untuk menepis segala tohmahan terhadap JAKIM.

Tanggungjawab menjaga Islam ini besar, kita tidak boleh hanya ada seorang atau hanya ada JAKIM sebaliknya kita perlukan institusi-institusi lain dan seluruh umat Islam.

Justeru, JAKIM bukan sahaja berperlembagaan malah merupakan badan perhubungan antara Negeri dan Persekutuan yang sangat penting dalam mendaulatkan Islam dalam negara kita, tegas Profesor Shamrahayu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: