Tempatan

Isu Doktor Kontrak: Keadaan Semasa dan Penyelesaian – Mantan Doktor Kontrak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Sektor kesihatan adalah salah satu sektor yang penting untuk menjamin kestabilan negara. Ia membantu untuk memastikan rakyat hidup dengan baik, mencegah penularan wabak dan membekalkan keperluan asas rawatan kepada rakyat.

Bermula tahun 2010, Kerajaan membuka peluang kepada institusi-institusi pendidikan awam dan swasta untuk mengambil pelajar dalam bidang perubatan, bagi menambah jumlah pegawai perubatan pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, langkah tersebut menemui jalan buntu apabila berlakunya lambakan graduan perubatan yang terpaka menunggu dalam tempoh yang agak lama untuk mendapatkan peluang pekerjaan di hospital-hospital kerajaan.

Umum mengetahui, pegawai perubatan perlu menjalani latihan di bawah pantauan pakar di hospital-hospital kerajaan dan tempoh minimum adalah selama dua tahun, meliputi enam jabatan utama dalam bidang perubatan iaitu perubatan, pembedahan, kanak-kanak, tulang, sakit puan, dan kecemasan dan trauma. Selepas tamat tempoh latihan, mereka akan diserap masuk secara automatik sebagai pegawai lantikan tetap, dan berpeluang menyambung pelajaran dalam bidang kepakaran yang diingini. Pihak Kerajaan juga menawarkan tajaan pembiayaan pelajaran di bawah Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). Pelbagai kemudahan lain juga diberikan termasuk cuti rehat, cuti sakit, dan juga elaun yang berpatutan dengan status pekerjaan mereka.

Walau bagaimanapun, kesan daripada lambakan graduan yang dinyatakan di atas, Kerajaan telah mengambil langkah untuk memperkenalkan sistem lantikan pegawai perubatan secara kontrak bermula Disember 2016. Hal ini memberi penyelesaian terhadap isu lambakan graduan, namun meninggalkan kesan dan reaksi yang tidak senang dalam kalangan pegawai perubatan yang terlibat.

Pembaharuan sistem ini melibatkan kemasukan pegawai perubatan secara kontrak untuk latihan siwazah selama dua hingga tiga tahun. Selepas itu, mereka akan diserap masuk dengan tawaran kontrak selama dua tahun seterusnya. Pihak Kerajaan berhak memberhentikan atau menyambung kontrak pegawai perubatan, berdasarkan beberapa kriteria yang dinilai, termasuk prestasi semasa sewaktu menjalani latihan siswazah seperti tamat tempoh latihan dalam masa dua tahun, markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan, LNPT dan markah kumulatif posting sekurang-kurangnya 85%, kelulusan peperiksaan bertaraf antarabangsa seperti MRCP, MRCS dan lain-lain, dan tiada masalah disiplin sepanjang tempoh latihan.

Pelantikan jawatan tetap juga dibuka tetapi dengan jumlah yang kecil berbanding lambakan pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada. Pada tahun 2021, terdapat sejumlah 23,077 pegawai perubatan UD41 lantikan kontrak dan Kerajaan hanya menawarkan 789 kekosongan jawatan untuk diserap masuk sebagai lantikan tetap. Proses pemilihan juga dilihat sebagai tidak telus kerana kriteria yang diperlukan berbentuk subjektif dan bergantung kepada penilaian pakar-pakar tertentu sahaja.

Di samping itu, pembaharuan sistem ini menafikan hak dan kebajikan pegawai perubatan yang dilantik secara kontrak. Perkara yang paling membimbangkan adalah mereka tidak mempunyai peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat pakar kerana tidak mempunyai kelayakan untuk mendapat tajaan pembiayaan pelajaran. Beberapa kelebihan lain seperti cuti ‘hazard’, cuti penyakit juga tidak diterima untuk pegawai perubatan berstatus kontrak. Tambahan pula, mereka tidak menerima elaun yang setimpal dengan waktu dan bebanan kerja yang diberikan. Jumlah gaji yang diterima juga lebih sedikit berbanding pegawai perubatan berstatus tetap, walaupun kedua-duanya bekerja dalam tempoh masa yang sama. Skim pencen juga tidak diberikan kepada pegawai perubatan kontrak, maka pilihan yang ada hanyalah simpanan melalui Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Hal ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat, terutamanya pegawai perubatan yang dilantik secara kontrak. Ada segelintir pihak yang menyokong sistem ini kerana merasakan ia akan melahirkan persaingan yang sihat dalam kalangan pegawai perubatan, namun kebanyakan daripada pegawai perubatan lantikan kontrak tidak bersetuju dengan pembaharuan tersebut. Sudah pasti keadaan ini kelihatan seperti tidak menyebelahi nasib mereka, sedangkan mereka juga berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pegawai berjawatan tetap yang lain.

Ekoran daripada pembaharuan sistem tersebut, para pegawai perubatan siswazah lantikan kontrak sebulat suara bertekad untuk melancarkan sebuah gerakan yang dinamakan ‘Hartal Doktor Kontrak’. Mereka mengumpulkan ahli dari seluruh negara, terutamanya pegawai perubatan dan berusaha menuntut beberapa perkara daripada pihak Kerajaan, melibatkan peluang menyambung pelajaran, tuntutan elaun, gaji dan cuti, dan juga tuntutan untuk diserap masuk sebagai pegawai tetap. Hartal Doktor Kontrak menggunakan platform media sosial untuk berkongsi masukan dan mendapatkan sokongan daripada masyarakat. Kemuncak Hartal Doktor Kontrak ini adalah ketika mereka mengadakan perhimpunan mogok pada tanggal 26 Julai 2021, melibatkan ratusan pegawai perubatan daripada lebih 20 buah hospital-hospital kerajaan. Mereka juga berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan dan juga Ketua Pengarah Kesihatan bagi menyatakan pendapat dan menadakan sesi perbincangan untuk mencapai kata putus yang lebih baik, namun setakat ini rundingan masih belum berakhir.

Dalam pada itu, semenjak sistem lantikan kontrak diperkenalkan, jumlah pegawai perubatan yang meletakkan jawatan meningkat secara mendadak dalam tempoh empat tahun sejak 2017 hingga tahun 2021. Seramai 5,345 pegawai perubatan telah meletakkan jawatan dan 2,032 daripadanya adalah pegawai perubatan berstatus kontrak. Mereka lebih berminat untuk meneruskan kerjaya di sektor swasta, disebabkan oleh jaminan pekerjaan yang lebih baik berbanding kontrak.

Hal ini merupakan satu kerugian yang amat besar buat negara, terutamanya dalam sektor kesihatan. Negara kehilangan tenaga pakar yang mampu untuk merawat pesakit dengan baik pada masa hadapan. Kekurangan pegawai perubatan juga menjadikan nisbah doktor:pesakit menjadi lebih besar, sekali gus menyebabkan pesakit terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan rawatan. Pegawai perubatan juga perlu menampung bebanan kerja yang banyak disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja. Kesannya, mereka mengalami tekanan di tempat kerja, kekurangan rehat sewaktu bekerja dan perlu bekerja lebih masa.

Tahun demi tahun, pihak Kerajaan cuba membaik pulih sistem pelantikan secara kontrak dengan mengkaji semula pelaksanaan dan meletakkan beberapa polisi terkini. Terbaharu, pegawai perubatan kontrak juga layak untuk menyambung pelajaran di bawah Program Latihan Kepakaran (PLK) dengan biasiswa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mereka juga mendapat hak ‘cuti hazard’, cuti penyakit seperti tuberculosis, dan kenaikan elaun. Pihak Kerajaan juga berusaha untuk turun padang dan melihat sendiri keadaan fasiliti-fasiliti dan jadual kerja pegawai perubatan di hospital untuk lebih memahami keadaan semasa.

Pelaksanaan lantikan secara kontrak ini perlu dilihat dengan lebih teliti untuk memberi ‘win-win situation’ kepada pihak Kerajaan dan juga pihak pegawai perubatan. Kerajaan perlu memastikan hak-hak mereka diberikan dengan selayaknya supaya mereka kekal berkhidmat untuk negara dengan peluang kerjaya yang lebih terjamin.

Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mengawal dan memantau pengambilan pelajar perubatan oleh institut pengajian tinggi awam dan swasta dengan lebih baik untuk memastikan lambakan graduan tidak berlaku dengan banyak. Syarat kelayakan yang lebih ketat juga perlu diperkenalkan untuk menjamin kualiti graduan yang dihasilkan. Kajian lebih mendalam mengenai jumlah semasa graduan, keperluan pegawai perubatan pada masa hadapan boleh membantu untuk menetapkan had jumlah pelajar yang akan diterima. Hal ini dapat membantu mengawal dan menyeimbangkan jumlah graduan dan mereka tidak perlu lagi menjalani sistem kontrak pada masa akan datang.

Peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat pakar juga harus diteliti semula. Jumlah penjawatan tetap perlu ditambah agar lebih ramai pegawai perubatan yang diserap untuk lantikan tetap berbanding jumlah sedia ada sekarang.

Di samping itu, dana yang banyak juga perlu diperuntukkan kepada sektor kesihatan untuk menambah bilangan pegawai perubatan sedia ada. Nisbah doktor:pesakit masih besar, terutamanya di kawasan luar bandar. Rakyat tidak mendapat rawatan yang sepatutnya kerana kekurangan peruntukan. Dengan penambahan jumlah pegawai perubatan, hal ini dapat mengurangkan masa bekerja dan memastikan mereka dapat bekerja dengan lebih optimum. Mereka juga berhak mendapat gaji yang setimpal, dan tidak dibezakan dengan pegawai yang berjawatan tetap.

Pelaksanaan skim simpanan masa hadapan juga perlu diperkemas dengan lebih baik untuk golongan pegawai perubatan lantikan kontrak. Ketiadaan skim pencen menyebabkan mereka tidak mempunyai jaminan kewangan yang baik di masa hadapan. Kerajaan harus memperkenalkan insentif lain untuk membantu mereka.

Tuntasnya, pegawai perubatan adalah aset negara yang sangat berharga. Mereka adalah petugas barisan hadapan yang bersungguh-sungguh berjuang untuk negara, terutama ketika negara dilanda wabak COVID-19. Oleh itu, isu ini perlu diberi perhatian penuh dari semua sudut oleh pihak Kerajaan. Usaha untuk memperbaiki dan menyelamatkan keadaan harus dimulakan dari sekarang untuk menjamin masa depan negara yang lebih baik.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: