Tempatan

Masjid, Surau Diseru Titik Berat Semula SOP COVID-19

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 18 Disember 2023 – “Selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya ingin menyeru seluruh pengurusan surau dan masjid di negara ini agar menitikberatkan semula SOP COVID-19,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar.

Menurut beliau, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui JAKIM akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) untuk mengambil langkah proaktif dalam ruang lingkup hal ehwal agama bagi menghadapi wabak tersebut.

“Langkah ini umpamanya bagi memastikan tempat perkumpulan ramai umat Islam seperti di masjid dan surau yang menjadi tempat mudahnya jangkitan wabak dapat diambil tindakan-tindakan pencegahan awal.”

“Sayugia, para jemaah masjid dan surau dinasihatkan agar mengamalkan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 dengan memakai pelitup muka khususnya bagi mereka yang bergejala dan juga berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik dan ibu mengandung,” kata beliau.

Beliau berkata demikian susulan daripada laporan semasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai peningkatan kes COVID-19.

Beliau dalam kenyataan yang sama turut mengatakan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menasihatkan seluruh lapisan masyarakat untuk mengambil langkah berhati-hati dalam menjaga kesihatan diri dan ahli keluarga masing-masing agar terhindar dari wabak penyakit tersebut.

“Langkah berwaspada ini adalah selaras dengan saranan Islam agar perkara yang boleh membawa kemudaratan hendaklah dielakkan (sad al-zaraie),” katanya.

Dalam kenyataan tersebut, beliau turut menyarankan umat Islam agar sentiasa berhati-hati setiap masa dan sentiasa berdoa serta bermunajat agar wabak ini dapat dihindari.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: