Isu CPTPP: Gabungan Kedaulatan Negara Cadang Adakan Dialog Bersama Zafrul 16 Januari ini – Gabungan Kedaulatan Negara
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 09 Januari 2023 – Gabungan Kedaulatan Negara telah mencadangkan agar sebuah dialog bersama Yang Berhormat Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diadakan pada 16hb Januari atau mana-mana tarikh sesuai pada YB Menteri secepat mungkin, kata Pengarah Eksekutif Third World Network, Chee Yoke Ling.
Kenyataan itu dikeluarkan setelah pihaknya difahamkan bahawa YB Menteri MITI dalam temu bual eksklusif di saluran berita CNBC pada hari Khamis 5 hb Januari lalu mengumumkan bahawa Kerajaan tidak akan menilai semula impak CPTPP terhadap negara kita.
BACA JUGA: CPTPP: Surat Jemputan Gabungan Kedaulatan Negara Kepada MITI
BACA JUGA : Isu CPTPP: Anwar Mesti Meletakkan Kepentingan Rakyat Melebihi Kepentingan Politik- Nurfitri Amir Muhammad
YB Menteri MITI juga dilaporkan sebagai berkata: “Memang terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak, namun telah menangani perkara itu dan banyak tindakan telah diambil oleh kementerian dan Kerajaan untuk menanganinya. Jadi kami sangat komited untuk menyertai CPTPP”.
Bagaimanapun menurut wakil Gabungan Kedaulatan Negara itu, secara hakikatnya, selama ini tiada maklum balas terperinci daripada pihak MITI mengenai kebimbangan yang ditimbulkan daripada pelbagai pihak tersebut.
“Malah di Parlimen, sama seperti apa yang disebut oleh YB Menteri MITI, jawapan daripada bekas Menteri MITI adalah bersifat umum dan penuh dengan jaminan tetapi tidak pernah secara langsung menjawab pelbagai kebimbangan tersebut secara khusus dan berfakta.”
“Sedangkan, telah jelas memorandum-memorandum yang diserahkan kepada setiap Kerajaan (Barisan Nasional, Perikatan Nasional, dan sekarang Kerajaan Perpaduan) selama ini menunjukkan bahawa peruntukan khusus dan komitmen Malaysia di bawah CPTPP, secara keseluruhannya, mengurangkan kebebasan negara untuk membuat dan melaksanakan dasar bagi manfaat rakyat,” katanya ketika ditanya Wartawan Samudera.my.
Beliau berkata, pihak Gabungan Kedaulatan Negara amat mengalu-alukan komitmen Kerajaan baharu untuk menangani isu hak, ekonomi dan kebajikan rakyat, khasnya golongan B40 dalam persekitaran global yang tidak menentu kini.
Jelasnya, komitmen yang mengikat secara sah di bawah CPTPP telah dimuktamadkan kali yang terakhir pada 2015 dan dunia telah berubah secara drastik sejak itu.
Namun, analisis kos dan faedah (CBA) yang diterbitkan oleh MITI pada Julai 2022 dengan jelas menyatakan bahawa kajian itu berteraskan andaian bahawa dunia kekal sama seperti pada 2021 ketika kajian itu dilakukan.
Tambahannya, skop CBA oleh MITI juga tidak menyeluruh dan kerana ini kami tidak faham bagaimana ia boleh menjadi asas untuk Kerajaan memutuskan bahawa manfaat CPTPP jauh melebihi kosnya.
“Justeru, Gabungan Kedaulatan Negara telah menghantar jemputan kepada Yang Berhormat Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pada hari ini (Jumaat), agar menyertai dialog mengenai ratifikasi Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP),” ujarnya mengakhiri kenyataan.