Tempatan

Istiqbal Marikh Kembali Di Langit Kuala Lumpur Khamis Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 07 Disember 2022 – Planet Marikh akan berada pada kedudukan oposisi atau istiqbal di mana kedudukannya akan bertentangan dengan Matahari dan merujuk kepada Bumi pada Khamis ini, 8 Disember 2022, jam 9 malam, menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Sewaktu oposisi ini, permukaan Marikh yang menghadap ke Bumi akan kelihatan lebih terang berbanding ketika ia berada di kedudukan lain susulan daripada sinaran penuh dari Matahari.

Planet itu juga akan kelihatan untuk sepanjang malam di buruj Taurus pada jarak sekitar 1.53 unit astronomi (AU) dari Matahari dan hampir 0.55AU dari Bumi.

Diameter ketara Marikh pula adalah sebanyak 17 saat arka dan magnitud ketara (kecerahan) Marikh dijangka sekitar -1.9 pada kedudukan oposisi.

Menurut kenyataan MYSA lagi, selepas oposisi, Marikh akan kelihatan di langit malam di ufuk timur selepas Matahari terbenam (pada waktu maghrib) dan penampakannya semakin menghala ke arah barat sehingga pertengahan Ogos 2023.

Kata MYSA, orang ramai boleh memerhatikan planet Marikh hanya dengan menggunakan mata kasar dengan menghadap ke ufuk timur yang bebas daripada sebarang halangan pada awal malam di mana Marikh akan kelihatan sebagai titik yang terang kemerahan dan tidak berkelip.

Namun, penggunaan teleskop adalah digalakkan sekiranya orang ramai berkeinginan untuk memerhatikan permukaan Marikh yang berwarna merah serta penutup kutub luaran yang berwarna putih.

Untuk rekod, istiqbal Marikh akan berlaku dalam tempoh setiap enam bulan dan kali terakhir ‘Planet Merah’ itu berada dalam keadaan oposisi adalah pada 13 Oktober 2020 lalu.

Oposisi seterusnya dijangka berlaku pada 15 Januari 2025.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: