Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16
Sekitar tanggal 31 Januari 2019 lalu menjadi hari bersejarah bagi negara ini apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam satu upacara penuh istiadat di Istana Negara.
Menurut malaysia.royalfamily, “Baginda dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari 2019 bagi tempoh lima tahun.”
Al-Sultan Abdullah dilantik bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang turun takhta pada 6 Januari sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 sejak 13 Disember 2016.
Ini membuktikan sistem penggiliran Ketua Negara ini masih relevan dipraktikkan pada era moden kerana ianya unik dengan menggabungkan tradisi feudal berasaskan keturunan dan konsep moden berasaskan Perlembagaan.
Tambah malaysia.royalfamily, istiadat pertabalan diadakan di Balairung Seri dan dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas).
Kandungan surat perisytiharan pula dibacakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan secara rasminya Al-Sultan Abdullah menjadi Ketua Negara baharu berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dilantik mengetuai bacaan doa, memanjatkan doa kepada Allah memohon kesejahteraan baginda berdua serta seluruh rakyat dan negara.
Untuk pengetahuan, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai sistem penggiliran dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu, berbanding 43 buah negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Perlembagaan.
Daulat Tuanku