Isteri Enggan Pulang Ke Rumah, Lelaki Mabuk Bakar Anak
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BHOPAL, 14 Julai 2022 – Seorang lelaki mabuk membakar anak perempuannya yang berusia lima tahun selepas isterinya enggan pulang ke rumah.
Kejadian yang berlaku di daerah Shivpuri telah meragut nyawa anak perempuannya yang mengalami kecederaan melecur sewaktu mendapatkan rawatan di hospital kerajaan di Gwalior.
Lapor Times of India, lelaki yang bernama Manoj itu merupakan seorang pemabuk dan sering mendera isterinya yang bernama Sita.
Beberapa minggu lalu, pertengkaran telah berlaku antara pasangan berkenaan melibatkan hal rumah tangga mereka hingga menyebabkan isterinya keluar dan tinggal di rumah tumpangan ibu bersalin bersama anak perempuannya, Naina.
Susulan itu, lelaki itu telah pergi ke rumah tersebut dan meminta isterinya untuk pulang ke rumah, namun isterinya menolak.
Lelaki itu pergi seketika dan kembali semula ke rumah berkenaan dengan membawa petrol lalu membakar anak perempuannya.
Beberapa jam kemudian, anak perempuannya itu dilaporkan meninggal dunia.
Lelaki terbabit turut ditahan beberapa jam kemudian atas tuduhan cubaan membunuh dan boleh disabitkan di bawah Seksyen 302 (Pembunuhan).