Tempatan

Israk & Mikraj: Terapkan Intipati Peristiwa Besar Ini Ke Dalam Iman, Amal Dan Akhlak – Ustaz Engku Ahmad Fadzil

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 Februari 2023 – “Cara terbaik menterjemahkan peristiwa Israk Mikraj adalah dengan menerapkan intipati peristiwa besar ini ke dalam iman, amal dan akhlak (kemurnian hati) seseorang,” ujar Pengarah Tijarah Hatimurni Sdn Bhd, Syarikat Pengendali Sekolah Islam Hati Murni, Ustaz Engku Ahmad Fadzil.

Menurut beliau, menerapkan peristiwa besar ini ke dalam iman dan keyakinan, adalah dengan meyakini kewujudan, kekuasaan, keesaan serta kesempurnaan Allah SWT yang ada kalanya Allah SWT zahirkan dalam bentuk yang berbeza dari kebiasaan.

Ianya, adalah dengan meyakini kekuasaan Allah SWT pada setiap perkara yang boleh berlaku (harus pada akal) walaupun menyalahi kebiasaan (di dalam bahasa Arab, disebut “adat”) iaitu pertalian biasa antara sebab (cause) dan musabab (effect), dan walaupun secara kebiasaan, ianya seakan-akan mustahil.

Tambah beliau, sesuatu yang suatu masa dahulu “mustahil” (seperti perjalanan jarak yang sangat jauh dalam tempoh yang sangat singkat, kebolehan berhubung antara satu sama lain dari jarak yang sangat jauh) kini menjadi sesuatu yang lumrah, yang bukan sahaja tidak dihairankan, bahkan digunakan pula untuk memudahkan urusan kehidupan.

“Sekarang telah ada keretapi laju, jet, internet, panggilan video, teknologi AI “artificial intelligent”, VR “virtual reality” dan lain-lain. Tentulah, kalau sebegitu hebat teknologi makhluk, apa yang ingin dihairankan dengan “teknologi” (kuasa) Allah SWT,” katanya.

Jelasnya lagi, menerapkan peristiwa besar ini ke dalam amalan seseorang adalah dengan meletakkan ibadah solat pada kedudukan yang sangat penting di dalam rutin kehidupan seseorang sehingga ibadah solat itu menjadi aktiviti sentral, titik tengah yang mana rutin harian seseorang bergerak sekitar ibadah solat.

“Ini diisyaratkan di dalam banyak hadith-hadith Rasulullah S.A.W. yang antara lain hadith sahih yang menyatakan bahawa orang yang hatinya sentiasa bergantung dengan masjid adalah salah satu dari tujuh golongan yang mendapat naungan Allah SWT pada hari kiamat.”

Begitu juga, riwayat yang lain yang menegaskan bahawa ibadah solat adalah ibadah yang mula-mula dihitung pada hari kiamat, yang mana sekiranya elok, maka eloklah amalan-amalan yang lain dan sekiranya rosak, rosak lah amalan-amalan yang lain.

Ustaz Engku berkata, tidak sedikit di kalangan umat Islam yang meremehkan ibadah solat, melakukannya secara acuh tak acuh, sekadar di pinggiran, bahkan ada yang meninggalkan terus ibadah solat, padahal kalau mereka menterjemahkan peristiwa Israk Mikraj ke dalam amalan mereka, mereka pasti akan meletakkan pada kedudukan paling tinggi ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT hanya setelah Rasulullah S.A.W. Mikraj dari satu langit ke satu langit hingga ke Sidratul Muntaha!

Sangat rugi, mereka yang mengabaikan “talian hayat” istimewa kurniaan Allah SWT ini yang diumpamakan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai tiang agama dan telah dikhabarkan di dalam al-Quran solat yang dilakukan dengan sempurna zahir dan batin akan menjadi benteng utuh menangkis perbuatan-perbuatan keji dan mungkar (Surah Al-Ankabut (29): Ayat 45).

Beliau berkata, menerapkan peristiwa besar ini ke dalam akhlak (kemurnian hati) seseorang adalah dengan senantiasa mengingati Allah SWT dan menginsafi bahawa kemuncak dari kehidupan ini adalah mendapatkan redha Allah SWT.

“Sentiasa muhasabah kekurangan diri serta tidak sesekali melayan amanah sebagai ghanimah keuntungan, sebaliknya sebagai tanggungjawab dan bebanan. Perlu menjauhi punca-punca dosa dan maksiat dan wajib segera bertaubat apabila tergelincir ke dalam dosa dan maksiat. Perlu senantiasa ikhlas di dalam niat, pertuturan dan tindakan, demi ketaatan kepada perintah-perintah Allah SWT dan demi kebaikan umat secara keseluruhan, bukan mengorbankan kepentingan ummat demi keuntungan-keuntungan peribadi yang sempit,” ujarnya.

Justeru, peristiwa Israk Mikraj yang disambut saban tahun ini menjadi panduan dan peringatan kepada semua rakyat Malaysia tentang Rukunegara yang pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan dan bahawa negara kita adalah negara yang beragama dan agama negara kita adalah Agama Islam (Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan) dan sumpah Rabbani DYMM YDPA (Perkara 37 dibaca bersama Jadual 4 Perlembagaan Persekutuan) telah meletakkan kewajiban Perlembagaan dan kenegaraan untuk kita sama-sama menjaga, pada setiap masa, Agama Islam,” ujarnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: