Antarabangsa

Israel Tembak Dalam Hospital, Termasuk Wad Kanak-Kanak – Kementerian Kesihatan Gaza

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SEMENANJUNG GAZA, 14 Disember 2023 – Ashraf Al-Qudra, jurucakap kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan oleh Hamas berkata, tentera Israel telah mengepung dan melepaskan tembakan ke arah wad pesakit di Hospital Kamal Adwan pada hari Rabu.

Serangan ini telah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan 12 kanak-kanak yang masih dalam penjagaan kanak-kanak di hospital tersebut yang kekurangan susu dan tanpa bantuan peralatan sokongan hayat.

Qudra turut berkata bahawa tentera Israel telah menahan pengarah hospital, Ahmed Al-Kahlot dan kakitangan lain yang diseksa dan disekat dari makanan dan minuman.

Manakala, OCHA berkata, dua ibu terbunuh apabila jabatan bersalin hospital Kamal Adwan di serbu tentera Israel pada hari Selasa.

Tentera Israel juga menghalang orang awam yang cedera dan sakit daripada sampai ke hospital, tambahnya.

Sebelum ini, tentera Israel juga telah menyerbu kemudahan perubatan lain di Gaza, termasuk Al-Shifa, hospital terbesar di wilayah itu.

Menurut PBB, pada masa ini hanya terdapat satu hospital di utara Gaza yang boleh menerima pesakit.

Hanya terdapat 14 daripada 36 hospital di seluruh wilayah Gaza yang masih berfungsi dalam keadaan yang terhad sambil melindungi beribu-ribu orang yang kehilangan tempat tinggal.

Menurut kementerian kesihatan, lebih 18,600 penduduk Gaza telah terbunuh dan hampir 50,600 masih cedera sejak perang antara Israel dan Hamas meletus lebih dua bulan lalu. Majoriti mangsa serangan tentera Israel di Gaza adalah orang awam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: