Israel Cemas, Jangkitan Kulat Perang Punca Tentera Haram Maut
YAFFA, 28 Disember 2023 – Rakyat negara haram Israel dipercayai dalam kebimbangan sekiranya jangkitan kulat yang telah membunuh seorang tentera Zionis merebak ke tanah rampasan itu.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang askar yang terlibat dalam perang Gaza dibawa ke pusat perubatan dengan kecederaan parah anggota badan. Askar itu mendapat rawatan menyeluruh namun kulat yang dijangkiti rintang sebarang ubat menyebabkan askar itu meninggal dunia.
Insiden ini mencetuskan kegusaran kepada penduduk haram bahawa kemungkinan wabak lain juga akan merebak ke kawasan mereka.
Memetik laporan, “Semua hospital Israel telah merekodkan peratusan besar tentera yang cedera kembali dengan jangkitan tahan antimikrob yang serius yang mereka alami melalui sentuhan dengan tanah yang tercemar di Gaza.”
Bagaimanapun, pejabat Jurucakap Pasukan Pendudukan Israel (IOF) menafikan perkara itu dan memberitahu, tidak ada wabak penyakit berjangkit dalam kalangan tentera IOF.
Sementara itu, pakar kesihatan awam juga memberi amaran bahawa beberapa atau semua penyakit Gaza mungkin memasuki Israel dalam masa singkat melalui tentera yang pulang atau sebaliknya.