Antarabangsa

Israel Cabul Masjid Al-Aqsa: Malaysia Sertai Mesyuarat Tergempar OIC

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 28 April 2022 – Malaysia telah menyertai mesyuarat tergempar jawatankuasa eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) peringkat perwakilan tetap di Jeddah, Arab Saudi pada Isnin lalu bagi membincangkan pencabulan Israel terhadap Masjid al-Aqsa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, mesyuarat itu dipengerusikan Arab Saudi selaku Pengerusi Sidang Kemuncak Islam OIC dan turut dihadiri Setiausaha Agung OIC serta negara anggota lain.

Malaysia yang sememangnya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan biadab tentera rejim Israel terhadap orang awam dan jemaah Palestin di Masjid al-Aqsa, melabelkan tindakan itu satu penindasan sistematik oleh kuasa penjajah Israel sebagai jenayah apartheid.

Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa memperbaharui komitmen bagi mencari penyelesaian berkekalan kepada konflik Israel-Palestin dan memastikan konflik ini kekal tinggi dalam agenda global.

Tegas Wisma Putra lagi, Malaysia akan tetap memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin agar mereka mendapat kebebasan daripada penjajahan haram Israel serta merealisasikan aspirasi Palestin untuk menubuhkan negara Palestin berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara.

Dalam pada itu, Malaysia turut menekankan keperluan untuk memelihara ‘status quo’ sejarah serta undang-undang di Masjid al-Aqsa

Dalam mesyuarat itu, OIC menerima pakai pernyataan akhir, antara lain mengulangi kepentingan perjuangan Palestin dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak dengan lebih berkesan bagi menangani konflik itu.

Anggota OIC juga sebulat suara menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap nasib rakyat Palestin, serta mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Israel di Masjid al-Aqsa terutamanya ketika Ramadan.

Pada minggu lalu, rakyat Palestin dikejutkan oleh tentera rejim Israel yang menyerbu perkarangan Masjid al-Aqsa dan menyerang jemaah semasa solat subuh.

Insiden itu mendapat tentangan keras daripada penduduk Palestin sambil menyeru negara-negara Islam mempertahankan kesucian masjid itu.

Leave a Reply

Back to top button