Israel Bakal Sasar Lebih Ramai Rakyat Palestin Demi ‘Menghapuskan Keganasan’
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
TEBING BARAT, 20 Mei 2022 – Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett berazam untuk ‘menghapuskan keganasan’ dengan menyasarkan lebih ramai rakyat Palestin, katanya ketika melawat penempatan haram Israel di Tebing Barat baru-baru ini.
“Kami akan menyerang pengganas di katil mereka pada waktu malam untuk menghalang mereka daripada muncul di jalan-jalan Tel Aviv,” ujar Bennett.
“Saya menyokong sepenuhnya usaha tentera dan polis Israel dalam menyasarkan mana-mana pengganas sama ada di Baitulmuqaddis, Tebing Barat atau di mana sahaja.”
Ucapan Bennett mendapat kecaman pihak berkuasa Palestin dan dikatakan tindakan tersebut merupakan sokongan rasmi Bennett untuk meluaskan penempatan haram yang dibina atas tanah yang diduduki Israel itu.
“Kenyataan Bennett itu telah menegaskan penggunaan sengaja keganasan sistematik terhadap rakyat kita dan mendedahkan pencerobohan yang dirancang Israel terhadap mereka,” ujar jurucakap Hamas, Hazem Qassem.
“Ancaman tersebut juga akan meningkatkan penentangan terhadap pendudukan haram Israel di Palestin,” tambah beliau.