Israel Adakan Pertunjukan Udara ‘Hari Kemerdekaan’ Di Kawasan Rakyat Palestin
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PALESTIN, 05 Mei 2022 – Israel diselar gara-gara cadangan untuk mengadakan pertunjukan udara di kawasan Hebron. Ia disifatkan sebagai sebuah provokasi terutamanya terhadap rakyat Palestin yang dihalau keluar dari kawasan tersebut pada tahun 1948.
Pertunjukan pada 15 Mei tersebut adalah bersempena sambutan ‘Hari Kemerdekaan Israel’, yang mana ia merupakan hari di mana pendatang haram Israel menghalau keluar ratusan ribu rakyat Palestin dari kediaman mereka.
Lapor TRT, kapal terbang Israel juga akan ‘berpesta’ di atas Masjid Ibrahim (Ibrahimi Mosque), sebuah masjid yang menjadi tempat bersemadinya Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Nabi Yaakub berserta ahli keluarga mereka.
Pertunjukan tersebut juga bakal diadakan di kawasan Hebron Selatan, sebuah kawasan yang sering menyaksikan tumpahan darah rakyat Palestin yang diserang oleh pendatang Israel.
Tindakan provokatif ini turut diselar oleh aktivis Israel sendiri, di mana gerakan politik berhaluan kiri di sana memprotes cadangan kerajaan tersebut yang dianggap tidak sensitif terhadap keadaan semasa.
Mossi Raz, seorang ahli politik Israel dari parti Meretz menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai sebuah “tindakan menunjuk-nunjuk kehebatan dan kuasa yang provokatif”.
Manakala aktivis Palestin, Issa Amro pula menyifatkannya sebagai sebuah rampasan oleh Israel ke atas kawasan Hebron, di mana kegiatan Israel di kawasan Tebing Barat Palestin adalah salah di sisi undang-undang antarabangsa.