Pendapat

Berhenti Cabul Kemuliaan Institusi Islam – Datuk Zainul Rijal

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – “TIAP-TIAP kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal agamanya sendiri. Itu peruntukan yang sudah termeterai di bawah Perkara 11(3)(a) Perlembagaan Persekutuan yang terjamin dan tidak boleh diganggu-gugat.

Sayang sekali, peruntukan yang sedia ada ini tidak digunakan sebaik mungkin sehingga merugikan agama itu sendiri khususnya agama Islam.”

Demikian menurut penulisan yang dibuat oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia yang juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) sebelum ini.

Beliau menjelaskan lagi, peruntukan Perkara 11(3) tersebut seharusnya menjadi satu praktik di mana urusan agama Islam di dalam negara mesti menjadi hak eksklusif umat Islam untuk mentadbir urusan agama mereka sendiri. Tambah beliau, telah berlaku banyak campur tangan ahli Parlimen Bukan Islam dan lain-lain lagi di dalam urusan Fiqh Islam di Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

“Hakikatnya pada masa sekarang orang Islam tidak secara eksklusif boleh mentadbir agama mereka sendiri apabila Jemaah Menteri bukan Islam, ahli Parlimen bukan Islam, ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat turut mengambil bahagian dalam perbahasan menyentuh kemurnian Islam fiqh dan juga ajaran yang sangat mendasar. Malah kini terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang bukan Islam turut mempertikai Undang-Undang Islam yang dibentangkan.”

Datuk Rijal berpandangan, mekanisme membuat undang-undang ini harus dinilai kembali penggubalannya kerana kerangka yang ada sekarang ini sudah tidak sesuai lagi untuk menggubal undang-undang berkaitan Islam.

Menurutnya, sebelum proklamasi darurat, semua undang-undang Persekutuan yang digubal dibincangkan oleh Jemaah Menteri dan dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum perkenan diberikan untuk dijadikan undang-undang yang berkuat kuasa.

Cadangan beliau supaya rang undang-undang khusus tentang agama Islam yang didraf oleh pakar perundangan Islam seharusnya dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara untuk format gubalan sahaja.

Setelah itu, ia perlu dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan kemudiannya kepada Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.

Seterusnya, ia akan hanya dipanjangkan kepada Jemaah Menteri untuk disahkan tanpa perlu dibahaskan kerana ia sudah diberi perkenan. Begitu juga apabila dibentangkan untuk bacaan pertama dan kedua tidak perlu kerana ia telah mendapat perkenan.

Beliau menyatakan perbezaan prosedur ini ialah dengan membawa kepada perkenan Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum perkara ini dibawa ke Jemaah Menteri dan Parlimen. Ia bertujuan mengelakkan perbahasan tentang Rang Undang-Undang Islam oleh orang bukan Islam termasuklah oleh orang Islam yang tidak mempunyai keilmuan dalam hukum syarak.

“Bukan niat menidakkan peranan ahli politik bukan Islam namun apa kewajarannya bagi mereka untuk mencampuri urusan agama dan undang-undang dan fatwa umpamanya.”

“Perkara ini penting kerana pada masa ini sudah berlaku pencabulan terhadap kemuliaan institusi dan perundangan Islam.”

Beliau menegaskan, bahawa perkara ini tidak terhad dalam urusan agama Islam, tetapi juga dalam urusan lain-lain agama.

“Secara dasarnya penulis tidak mengatakan atau mengehadkan campur tangan golongan tertentu terhadap agama Islam semata-mata tetapi ia secara menyeluruh. Dengan kata lain, penulis juga tidak mahu pihak tertentu turut mencampuri urusan agama lain misalnya Kristian, Buddha dan Hindu kerana tidak mengetahui hal agama tersebut selain perlu menghormati fahaman agama mereka.”

Beliau memberikan contoh bagaimana perkara yang berlaku adalah sebaliknya berlaku dari apa yang diperuntukkan di bawah Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Zainul Rijal memberikan contoh perbahasan yang melanggar hukum syarak seperti yang berlaku terhadap Undang-Undang Keluarga Islam yang berlangsung di Parlimen beberapa tahun lalu, ahli Dewan Negara yang bukan Islam turut serta dalam perbahasan dengan melabelkan undang-undang Islam zalim dan menindas wanita.

“Ini perkara yang tidak seharusnya terjadi kerana Perkara 11(3) menyatakan Islam itu ditadbir oleh golongan daripada agama itu sendiri dan yang lain tidak boleh masuk campur.”

“Oleh itu untuk mengelak perkara ini berlaku, penulis mencadangkan supaya rang undang-undang terus mendapat perkenan daripada Tuanku kemudian baru disahkan oleh Jemaah Menteri dan juga Parlimen tanpa perlu dibahas memandangkan ia sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Ketua Agama.”

Beliau turut menegaskan sumpah yang dilafazkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan, bukanlah untuk dekorasi tetapi mempunyai kesan dan mesejnya.

Sumpah Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual Keempat tersebut, menurut Datuk Zainul Rijal lagi ialah sumpah di mana Yang di-Pertuan Agong bersumpah, berikrar mengaku taat setia menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan perlembagaan negeri serta pada setiap masa akan memelihara agama Islam.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia*
Artikel Penuh: https://www.sinarharian.com.my/article/123752/KOLUMNIS/Urus-hal-ehwal-agama-sendiri

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: