‘Islam Bukan Agama Aman’ – Ahli Kongress Amerika
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
AMERIKA SYARIKAT, 27 Ogos 2021 – Ahli Kongres Amerika, Marjorie Taylor Greene meminta orang ramai untuk mendoakan keselamatan para pendakyah Amerika yang sedang menyebarkan agama Kristian di Afghanistan kerana menurutnya, Islam bukanlah agama yang aman.
Marjorie juga membuat dakwaan bahawa beberapa keluarga pendakyah Kristian telah dibunuh oleh umat Islam di sana.
Tulis beliau di laman Twitternya, “Doakanlah pendakyah-pendakyah Kristian Amerika di Afghanistan. Ada laporan yang mengatakan beberapa keluarga mungkin telah terbunuh.”
“Islam bukanlah agama yang aman.”
Tuduhan beliau ini mempunyai kaitan dengan mesej tular di sosial media di Amerika Syarikat baru-baru ini yang mendakwa ramai pendakyah Kristian bakal dijatuhi hukuman bunuh oleh pemerintahan Islam di Afghanistan.
Reuters pada 21 Ogos baru-baru ini telah menyangkal kesahihan dakwaan tersebut.
Penyelidikan Reuters mendapati mesej tular yang menggunakan ayat yang sama telah berulang kali muncul di media sosial sejak 2009.
Ini bukanlah kali pertama Ahli Kongres ini membuat kenyataan kontroversi berkenaan kesucian agama Islam.
Sebelum ini beliau juga pernah menuduh perundangan Syariah membolehkan kaum lelaki mengahwini kakak dan adik perempuan mereka, juga dibenarkan untuk meliwat kanak-kanak lelaki.
Amerika Syarikat sudah lama cuba menjayakan usaha untuk memurtadkan umat Islam Afghanistan supaya mereka beramai-ramai memeluk agama Kristian. Gereja Amerika Syarikat telah mula menghantar pendakyah Kristian dan terjemahan kitab-kitab Bible ke sana sejak tahun 1837 lagi.