Iran Sokong Segala Keputusan Hamas
IRAN, 24 November 2023 – Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian telah mengeluarkan kenyataan bahawa Iran akan menyokong segala keputusan yang dibuat Hamas.
Kenyataan tersebut dibuat sewaktu di dalam sebuah sesi temu bual di Beirut. Dalam kenyataan yang sama beliau turut menyatakan bahawa skop peperangan di Gaza akan terus menular kecuali jika terdapat gencatan senjata dilakukan
Ujarnya, “Jika gencatan senjata bermula esok, jika ianya tidak teruskan…keadaan di rantau tersebut tidak akan sama dengan sebelum gencatan senjata dan skop peperangan itu akan terus menular”.
“Kami tidak mahu menularkan skop peperangan itu”.
“Jika keadaan peperangan itu menjadi lebih teruk, segala kemungkinan boleh terjadi dalam penularan skop peperangan tersebut”.
Pada Rabu lalu, Israel dan Hamas telah bersetuju untuk membuat gencatan senjata selama empat hari di Gaza, di mana Hamas akan membebaskan sekurang-kurangnya 50 orang tahanan manakala Israel pula akan membebaskan sekurang-kurangnya 150 orang warga Palestin yang dipenjarakan.
Gencatan senjata tersebut juga, menurut persetujuan kedua-dua pihak akan menyaksikan lebih banyak bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk ke dalam wilayah tersebut setelah lebih enam minggu berhadapan dengan pengeboman, pertempuran yang sengit serta kepungan.
Menurut Hossein juga, Iran melihat dua pilihan berdasarkan apa yang berlaku iaitu yang pertama ialah sebuah gencatan senjata kemanusiaan yang akan berterusan dan bertukar menjadi gencatan senjata tetap.
Manakala yang kedua adalah (Israel) terus mengancam warga Palestin dan warga Palestin akan membuat keputusan sendiri bagi pihak mereka.
Tambahnya lagi, “Netanyahu tidak akan dapat memenuhi impiannya untuk memusnahkan Hamas”.