
Sumber gambar: https://theoceancleanup.com/
Jika anda menaiki bot menyusuri Sungai Klang menghala ke arah laut hari ini, anda mungkin akan terserempak dengan satu objek aneh dan gergasi yang terapung di permukaan air Sungai Klang. Bentuknya futuristik, macam kapal angkasa yang sesat mendarat di atas air keruh. Ada panel solar di atas bumbungnya dan mulut gergasi yang sedang menelan sampah tanpa henti.
Itulah Interceptor. Dan percaya atau tidak, salah satu daripadanya adalah hadiah daripada kumpulan rock terkenal dunia, Coldplay.
1. Pemakan Sampah Oscar the Grouch Sungai Klang

Oscar the Grouch ini suka sangat makan sampah-sarap.
Untuk jangka masa yang amat lama, semenjak tahun 1980’s, Sungai Klang memegang gelaran yang agak memalukan: Sungai Klang merupakan salah satu sungai pencemaran pelbagai termasuk sisa-sisa plastik terbesar ke lautan dunia. Sampah dari KL, PJ, dan Subang semuanya mengalir ke sini sebelum tumpah ke Selat Melaka (Samudera kita). Berikutan dengan pelancaran projek River of Life oleh DBKL dan Kerajaan Malaysia, pelbagai usaha telah diperkenalkan & dijalankan untuk membaikpulihkan kualiti air sungai-sungai di Selangor & Kuala Lumpur.
Salah satu usaha yang paling berkesan untuk mencegah pengaliran sisa-sisa & sampah sarap bandaraya ke laut diterajui The Ocean Cleanup, sebuah organisasi dari Belanda yang mencipta Interceptor. Di Sungai Klang, kita ada dua “penjaga gol” utama: Interceptor 002 dan Interceptor 005. Antara fakta yang paling menarik: Interceptor 005 ini sebenarnya sumbangan tajaan oleh Coldplay! (Wow!!! Saya sangat terkejut apabila mengetahui bahawa Coldplay telah menaja Interceptor 005 untuk kegunaan di Sungai Klang.)
Cara Interceptor berfungsi agak menarik dan istimewa: ia tidak memburu sampah-sarap secara aktif. Ia cuma tunggu di satu tempat. Menggunakan arus sungai semula jadi, sampah akan dihalakan ke mulut Interceptor, naik ke conveyor belt (macam kat kaunter bayaran pasar raya), dan terus masuk ke dalam tong sampah gergasi di perut kapal. Semuanya berkuasa solar, jadi kos operasinya boleh direndahkan, dan beroperasi 24 jam sehari tanpa berhenti.
2. Interceptor 005 (Neon Moon 1): Tajaan Coldplay
Yang paling glamor tentulah Interceptor 005, atau nama manjanya “Neon Moon 1”.
Kenapa band macam Coldplay sibuk nak sponsor mesin cuci sungai kat Malaysia? Sebab mereka faham satu fakta mudah: Jika anda nak bersihkan laut, anda kena bersihkan sungai dulu. Sungai adalah arteri yang membawa ‘racun’ plastik ke jantung lautan.
Daripada buat konsert semata-mata, Coldplay melabur dalam mesin ini untuk memastikan botol plastik dan bekas polistirena kita tidak menjadi makanan penyu di Lautan Hindi. Agak ironik—orang luar lebih sanggup berhabis duit untuk bersihkan sungai kita berbanding kita sendiri yang membuangnya. Kita perlu menghargai kemurahan hati mereka dalam usaha menyelesaikan masalah kekotoron sungai-sungai kami.
Interceptor yang satu lagi (Interceptor 002) sudah berada di sana lebih awal (sejak 2019) hasil kerjasama kerajaan negeri Selangor (melalui Landasan Lumayan) dengan The Ocean Cleanup. Baru-baru ini, kos operasinya turut ditaja oleh syarikat korporat persendirian seperti Affin Bank dan MUFG.
3. Bukan Magik, Tapi Statistik
Sejak beroperasi dengan kerjasama Landasan Lumayan (LLSB), mesin-mesin ini telah mengutip ribuan tan sampah. Bayangkan peti sejuk lama, tilam, topi keledar, dan jutaan botol plastik yang sepatutnya hanyut ke laut, kini berjaya disekat.
Pemandangan di sekitar kawasan Interceptor berlabuh kini jauh lebih bersih. Tiada lagi “pulau sampah” terapung yang menyakitkan mata. Air mungkin masih keruh (itu isu tanah dan kelodak), tetapi sekurang-kurangnya ia bukan lagi penuh dengan sisa-sisa plastik.
4. Mesin Boleh Tolong, Tapi…
Walaupun Interceptor ni hebat, ia ada satu kelemahan besar: Ia tak boleh ubah perangai manusia.
Interceptor hanyalah untuk mengurangkan simptom sampah-sarap. Ia merawat simptom (sampah dalam sungai), tetapi tidak mengubati punca penyakit (sikap orang membuang sampah ke dalam sungai-sungai). Selagi ada orang di hulu yang campak plastik ikut tingkap kereta atau buang sisa kilang ke dalam longkang, sumber air kita di Malaysia ini akan kekal tercemar. Orang ramai perlulah berhenti membuangkan sampah-sarap ke dalam sungai kita. Sepatutnya kita menggunakan cara yang betul untuk mengendalikan masalah sampah-sarat.
Keberkesanan Interceptor dalam Mengatasi Pencemaran Sungai-sungai Malaysia
Mungkin ada yang ingat ini inovasi kereta terbang yang pernah viral dulu, tapi ini bukan dia. Interceptor adalah ciptaan seorang pemuda Belanda bernama Boyan Slat, pengasas organisasi The Ocean Cleanup yang ingin membanteras pencemaran sumber-sumber air seluruh dunia.
Ceritanya menarik. Mula-mula, Boyan ni cuma nak bersihkan “pulau sampah” yang terapung di tengah lautan. Tapi lama-lama dia sedar satu fakta penting: Kalau lantai rumah banjir sebab paip bocor, kita tak sibuk lap lantai dulu, kita tutup paip tu dulu.
Sungai adalah “paip” tersebut. Kajian mereka mendapati 1% daripada sungai di dunia (kira-kira 1,000 batang sungai) menjadi punca kepada 80% sampah plastik yang masuk ke laut. Dan malangnya, Sungai Klang adalah antara penyumbang yang paling utama. Jadi, daripada tunggu sampah masuk laut, baik “cekup” siap-siap masa dia masih dalam sungai.
Selera Besar: Boleh Telan 100 Tan Sehari!
Jangan main-main dengan “selera” Interceptor ni. Walaupun dia nampak tenang je terapung kat situ, kapasiti dia memang dahsyat.
Mengikut data dari The Ocean Cleanup, kapal yang berharga sekitar 700,000 Euro (RM3.5 juta) ini mampu mengutip sehingga 50,000 kg hingga 100,000 kg sampah sehari pada keadaan operasi yang optimum.
Cuba bayangkan, 100,000 kg tu berat dia lebih kurang sama dengan 100 buah Perodua Myvi yang disusun bertingkat-tingkat! Itulah jumlah sampah yang diselamatkan daripada masuk ke Selat Melaka setiap hari. Dan yang paling best, dia buat kerja ni senyap-senyap guna tenaga solar 100%, tanpa ganggu bot nelayan lalu-lalang atau hidupan liar dalam sungai.
Usaha Kita Pun Ada Juga (Selangor Maritime Gateway)
Tapi janganlah kita puji orang luar semata-mata. Kehadiran Interceptor di sini bukan berlaku secara kebetulan. Ia adalah sebahagian daripada inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG) di bawah Menteri Besar Inc (MBI).
Kerajaan negeri, di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, nampak peluang untuk bekerjasama dengan The Ocean Cleanup untuk “resuscitated” (bagi nyawa semula) kepada Sungai Klang yang dah tenat. Interceptor 002 (yang ada sejak Ogos 2019) dan adiknya 005 adalah bukti keseriusan usaha pembersihan ini.
Jadi, bila anda nampak mesin pelik ni terapung di Sungai Klang, jangan pelik. Ia adalah “vakum gergasi” yang sedang bekerja keras membetulkan kesilapan kita, supaya anak cucu kita nanti masih boleh kenal apa itu sungai, dan apa itu samudera yang bersih.
Kesimpulan:
Interceptor di Sungai Klang adalah simbol harapan dan teknologi. Ia membuktikan bahawa kita boleh memulihkan kerosakan alam jika kita bijak. Tetapi, janganlah kita rasa selesa sangat.
Setiap kali anda nampak “Neon Moon 1” sedang bekerja keras di tengah panas, ingatlah: Ia sedang membeli masa untuk kita berubah. Jangan sampai satu hari nanti, mesin tu pun “muntah” sebab tak larat nak telan sampah yang kita hasilkan.



