NGO

Institusi Agama Diseru Gerakkan Tenaga Pengajar Dan Murid Tingkatkan Rohani Hadapi Pandemik Covid-19 – PINTA

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KENYATAAN MEDIA

GABUNGAN INSTITUSI TAHFIZ AL-QURAN KEBANGSAAN (PINTA)

Bismillahir-Rahmaanir-Rahiim

Nahmaduhu wa nusolli wa nusallimu ‘ala Rasulihil-kariim,

Wa ba’du;

Tidak bergerak walau satu zarah, melainkan dengan iradah dan perintah Allah Taala, Rabbul ‘alamin. Kita meyakini bahawa kejayaan sebenar kita ialah sejauh mana kita dapat mentaati perintah Allah, sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Allah berfirman:

“Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang yang mendapat kemenangan.” (An-Nur: 52)

Sudah melebihi 2 tahun kita semua diuji dengan pandemik COVID-19. Gelombang demi gelombang. Musibah kesihatan ini kini telah merebak menjadi musibah keselamatan, ekonomi dan sosial. Pakar-pakar menyatakan, kadar bunuh diri yang menungkat, ada hubung kait dengan tekanan emosi yang ditanggung disebabkan pandemik ini. Kelihatannya, musibah ini kini telah menjadi satu ujian terhadap agama dan keimanan umat.

PINTA yang mewakili komuniti institusi tahfiz sangat prihatin berkenaan situasi ini.

Apa yang lebih membimbangkan, hari ini negara kita sedang dihadapkan pula dengan musibah politik yang boleh menyebabkan berlakunya krisis Perlembagaan. Dalam keadaan yang serba payah ini, kemaslahatan dan kepentingan agama perlulah diperjuangkan dan ditegakkan oleh semua pihak. Sesuai dengan kedudukan menjaga agama adalah kemaslahatan tertinggi dalam Maqasid Syariah.

Menyedari saat yang kritikal ini, PINTA menyeru setiap madrasah dan institusi tahfiz negara ini, terutamanya lebih 600 madrasah yang bernaung di bawah PINTA, untuk menggerakkan para asatizah dan tolabah masing-masing untuk meningkatkan tawajuh kerohanian dalam menghadapi keadaan ini.

Setiap madrasah bolehlah menggerakkan warga masing-masing bagi mengadakan khataman al-Quran, solat hajat, istighfar, doa dan istighathah bagi memohon kepada Allah Taala agar kemelut yang berlaku ini dapat diselesaikan sebaik-baiknya dengan ihsan, ‘inayah, hidayah dan rahmat Allah Taala.

Seruan ini dilakukan dengan semangat kata-kata Nabi Syuaib a.s. yang telah dimaktubkan oleh Allah di dalam al-Quran:

“…Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali..” (Hud: 88)

Sesungguhnya, Allah-lah sebaik-baik Pemberi Pertolingan.

Sekian.

Ustaz Mohd Zahid Mahmood
Presiden
Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA)

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button