Insiden Islamofobia: Masjid Manchester Dilempar Kepala Babi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
UNITED KINGDOM, 13 Disember 2022 – Para jemaah di sebuah pusat komuniti Muslim di Greater Manchester kini bimbang akan menjadi mangsa jenayah kebencian setelah kepala babi dilemparkan ke bumbung masjid mereka.
Kepala babi tersebut telah ditemui pada sekitar jam 9.15 malam pada Jumaat lalu di bangunan Heatons Muslims Community Trust (HMCT) di Heaton Mersey, Stockport.
Kepala babi tersebut mudah dilihat berikutan kedudukannya yang terletak di bahagian bumbung yang rata dan rendah. Pihak polis telah menyifatkan perbuatan melempar kepala babi itu sebagai sebuah jenayah kebencian dan Islamofobia.
Muhammad Tayyab Mohiuddin yang merupakan salah seorang pemegang amanah HMTC menyatakan bahawa pada petang hari kejadian, mereka sedang berkumpul dan kemudian beberapa orang keluar daripada premis tersebut lalu mengatakan bahawa terdapat kepala babi di atas bumbung. Katanya lagi,
“Bumbung itu rendah jadi mudah dilihat. Saya rasa mereka sengaja melemparkannya di situ untuk menakutkan orang ramai. Semua orang tahu bahawa ianya memang diletakkan di situ dan semua mengetahui apakah niat disebalik perbuatan tersebut.”
“Ramai orang tua dan kanak-kanak yang menggunakan pusat kami ini, mereka dalam keadaan ketakutan kerana seseorang sedang mensasarkan kami dan akan datang, seseorang mungkin boleh melakukan sesuatu yang lebih teruk atau mengambil langkah yang salah.”
Kenyataan rasmi HMCT mengenai kejadian tersebut menyatakan bahawa terdapat kepala babi yang diletakkan di bumbung, yang mana ianya kelihatan seperti jenayah kebencian. Insiden itu juga disifatkan sebagai, ‘malangnya, perbuatan ini bukanlah hanya sekali dilakukan’.