Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia Beri Peluang Mahasiswa Pemilikan Terus Tablet
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 07 September 2022 – Kerajaan Malaysia melalui hantaran di laman rasmi Jabatan Penerangan Malaysia memaklumkan bahawa para mahasiswa kini berpeluang memiliki terus tablet yang diberikan oleh Kerajaan.
Pemilikan terus tablet kepada mahasiswa itu sekali gus membuka peluang kepada 350,000 mahasiswa golongan B40 untuk memiliki terus tablet berjenama terkenal yang diberikan oleh Kerajaan untuk tujuan pembelajaran itu.
Pengumuman yang disifatkan berita gembira buat mahasiswa tersebut dibuat oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob semasa Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia pada 3 September lalu.
Kerajaan juga memaklumkan bahawa permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia masih dibuka sehingga 30 September 2022 dan kelulusan permohonan tersebut dilakukan secara berperingkat dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Pemakluman keputusan permohonan peranti boleh disemak mulai 29 Ogos 2022 melalui https://perantisiswa.kkmm.gov.my.”
Sebelum ini, Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia menggunakan Konsep Guna Pakai (KGP) yang mana mahasiswa menyerahkan semula peranti setelah tamat belajar.