Ini Bukan Masa Bicara Tanpa Berbuat Apa-Apa – Pemangku Raja Pahang
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUANTAN, 23 Ogos 2021 – “Suka saya ingatkan sekali lagi kepada semua wakil rakyat saya, ini bukanlah masa untuk kita berebut kuasa, ini bukanlah masanya untuk kita semua bersengketa, ini bukanlah masanya untuk kita banyak bicara tanpa berbuat apa-apa.”
Demikian titah KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sewaktu menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-14 hari ini.
Nasihat baginda lagi kepada semua wakil rakyat, mereka perlu berubah kepada politik yang lebih matang, jujur dan ikhlas untuk membantu rakyat dan memajukan negara
Ini kerana rakyat dan negara tidak wajar dibebani dengan kemelut politik dan perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.
“Sebaliknya inilah masanya untuk kita semua bersama demi negara, negeri dan rakyat jelata. Dalam keadaan wabak pandemik ini, rakyat menaruh harapan yang sangat tinggi kepada kita semua.”
Baginda juga menyeru kepada semua wakil rakyat agar berbahas secara rasional dan berpegang kepada prinsip mendahulukan rakyat dalam setiap hujah mereka.
“Saya menyeru Ahli yang Berhormat Dewan berbahaslah secara rasional dan berpeganglah kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat serta kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan.”
Sebelum mengakhiri titah, Tengku Hassanal mengucapkan tahniah atas pelantikan Dato’ Sri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Ke-9.
“Mengambil kesempatan ini, saya menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Ismail Sabri bin Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9.”
“Saya berharap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab besar yang telah diamanahkan oleh Allah SWT dengan sebaik-baiknya.”