Indonesia Panjangkan Cuti Bersalin Bergaji Untuk Ibu Dengan Masalah Kesihatan
JAKARTA, 09 Jun 2024 – Indonesia melanjutkan cuti bersalin bergaji untuk ibu yang menghadapi masalah kesihatan berikutan kerajaannya berusaha untuk mengurangkan pembantutan dalam kalangan kanak-kanak.
Ibu dengan surat doktor yang menunjukkan mereka atau anak mereka yang baru lahir menghadapi masalah kesihatan berhak untuk mendapat cuti maksimum enam bulan, manakala ibu baharu yang lain boleh mendapat tiga bulan mengikut undang-undang yang diluluskan pada Selasa baru-baru ini.
Menurut laporan, mereka akan dibayar penuh pada empat bulan pertama cuti manakala pada bulan kelima dan keenam akan dibayar pada kadar 75 peratus.
Kumpulan hak sivil telah berusaha untuk melanjutkan cuti bersalin bergaji kepada semua ibu daripada tiga bulan kepada enam bulan dengan alasan bahawa perubahan itu akan membantu Presiden Joko Widodo mencapai matlamatnya untuk mengurangkan kekurangan zat makanan kanak-kanak kepada 14 peratus menjelang akhir penggalnya Oktober ini.
Laporan sama berkata, data terkini menunjukkan bahawa kira-kira 22 peratus rakyat Indonesia bawah lima tahun terbantut pada penghujung 2022 dan ia lebih rendah daripada 24 peratus pada tahun sebelumnya.
“Kami ingin memberikan cuti enam bulan penuh untuk para ibu tanpa syarat tetapi cabarannya ialah sesetengah syarikat mungkin tidak mahu mengambil wanita.
“Jadi ini adalah perjanjian yang adil untuk semua pihak,” kata Pemangku Timbalan Kesaksamaan Jantina di Kementerian Pemerkasaan Wanita, Indra Gunawan.
Tambah beliau, majikan akan dikenakan tindakan pentadbiran sekiranya mereka gagal mematuhinya.
Undang-undang baharu itu juga turut akan memberikan cuti lima hari kepada bapa berbanding dua hari sebelum ini dan bertanggungjawab untuk menyediakan nutrisi kepada ibu dan anak.