Indonesia Lancarkan Vaksin Buatan Sendiri
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
*Indonesia Lancarkan Vaksin Buatan Sendiri*
JAKARTA, 25 Februari 2022 – Indonesia bakal mengeluarkan vaksin COVID-19 buatan sendiri Ogos ini yang dinamakan vaksin Merah Putih sempena warna merah dan putih bendera Indonesia, menurut Profesor Fedik Abdul Rantam.
Walau bagaimanapun, vaksin yang dijalankan oleh Universiti Airlangga yang berpangkalan di Surabaya bersama syarikat farmaseutikal tempatan, Biotis Pharmaceuticals Indonesia masih dalam fasa pertama ujian klinikal.
Profesor Fedik Abdul Rantam yang mengetuai pasukan penyelidikan vaksin tersebut berkata, fasa pertama ujian keselamatan vaksin membabitkan 90 sukarelawan dewasa dimulakan pada 9 Februari lalu, diikuti fasa kedua pada Mac ini dengan 405 sukarelawan dan fasa ketiga pada April dengan 5,000 sukarelawan.
Seterusnya, kajian akan diteruskan dengan menguji sama ada vaksin menggunakan virus yang tidak aktif itu boleh merangsang tindak balas imun dalam tubuh manusia terhadap virus COVID-19, kata Profesor Fedik.
Menurut Profesor Fedik, vaksin tersebut dihasilkan untuk pelbagai kumpulan, termasuk kanak-kanak dan wanita hamil, namun kumpulan yang sebenar akan ditentukan selepas fasa ketiga ujian.
“Dalam ujian pra klinikal yang membabitkan haiwan, vaksin itu menunjukkan keberkesanan 85 peratus terhadap varian Delta.”
Justeru, pihaknya berharap mendapat kebenaran penggunaan kecemasan Agensi Pemantauan Makanan dan Ubat (BPOM) Indonesia pada Julai ini jika percubaan itu berjaya.