Antarabangsa

India Bakal Berdepan Malapetaka Disebabkan Kegagalan Monsun – Kumpulan Pakar

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

INDIA, 22 Jun 2022 – Beberapa pakar membangkitkan kebimbangan mengenai India yang bakal berdepan dengan malapetaka disebabkan oleh kegagalan monsun yang dijangka berlaku pada ketika ini. Kegagalan itu akan memberikan impak buruk kepada sektor ekonomi berasaskan pertanian yang menjadi salah satu sumber pendapatan negara tersebut. Apa yang turut membimbangkan kumpulan pakar ini ialah kegagalan itu turut akan menjejaskan isu keselamatan bekalan makanan di India.

Monsun membentuk 70% jumlah taburan hujan negara itu dan menjadi sumber utama pengairan kawasan tanaman di India. Fenomena yang dijangka berlaku ini dikatakan turut disebabkan oleh gelombang cuaca panas dan fenomena La Nina yang melanda India. Jika perkara ini berterusan, pakar meramalkan akan berlakunya inflasi dan pengeluaran tanaman yang buruk.

The Economic Times memberitahu, tekanan awal gelombang haba itu telah memberi kesan terhadap tanaman bijirin dan kerajaan digesa agar mengekang eksport gandum serta mengurangkan jangkaan pengeluaran secara kasar kira-kira 5% daripada 111.3 juta tan kepada 106.4 juta tan.

Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah (D-G) Jabatan Meteorologi India (IMD), Mrutyunjay Mohapatra berkata, jangkaan mereka masih dalam keadaan baik dan hujan kini semakin menunjukkan peningkatan. Defisit hujan di seluruh negara telah menurun sebanyak 18% pada 17 Jun berbanding 43% pada 11 Jun.

Beliau turut menyatakan bahawa aktiviti taburan normal hujan akan berterusan di beberapa kawasan di India. Beliau juga menambah bahawa aktiviti monsun tidak pernah menyumbang kepada taburan sekata hujan untuk semua kawasan.

Menurut beliau lagi, jika dilihat pada taburan spatial, sesetengah kawasan akan menerima lebih taburan hujan berbanding kawasan-kawasan lain. Kuantum taburan akan normal sepertimana yang diramalkan oleh pihak mereka.

Walau bagaimanapun, pakar-pakar lain tetap mengingatkan bahawa sebarang bentuk gangguan kepada corak cuaca akan menghasilkan kesan serius terutamanya kepada keselamatan bekalan makanan India. Pemerintah India diingatkan untuk membuat persediaan awal dengan jangkaan tersebut.

Leave a Reply

Back to top button