Imam Masjidil Haram Dijatuhkan Hukuman Penjara 10 Tahun
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
MEKAH, 24 Ogos 2022 – Mahkamah Rayuan Arab Saudi telah menjatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun terhadap Sheikh Saleh Al-Talib, imam dan pendakwah terkemuka di Masjidil Haram, Mekah kelmarin.
Menurut ciapan sebuah organisasi di laman Twitter, Mahkamah Rayuan negara tersebut telah membatalkan keputusan untuk membebaskan Sheikh Saleh Al-Talib sekali gus menjatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun terhadapnya.
Confirmed to us that the Court of Appeal reversed the release ruling against the imam of the Grand Mosque in Mecca, Sheikh Saleh Al-Talib, and issued a ten-year prison sentence against him. pic.twitter.com/wWcdrLJgsP
— Prisoners of Conscience (@m3takl_en) August 23, 2022
Pendakwah tersebut yang berusia 48 tahun telah ditangkap pada Ogos 2018 ketika bergelar seorang imam di Mekah. Namun begitu, pihak kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung penahanan tersebut.
Prisoners of Conscience, sebuah kumpulan advokasi media sosial yang memantau dan mendokumentasikan penangkapan pendakwah dan ulama Saudi berkata bahawa Sheikh Saleh Al-Talib ditahan sejurus sahaja selesai menyampaikan khutbah mengenai kewajipan dalam Islam untuk bersuara menentang kejahatan di khalayak ramai.
Sebelum ini, Arab Saudi telah menahan puluhan pendakwah dan ulama sejak tahun 2017. Sesetengahnya disebabkan oleh seruan mereka yang secara terbuka mahukan perdamaian antara negara Teluk ketika Saudi mengetuai pengepungan ke atas negara jiran Qatar.