NGO

Iktiraf UEC Ibarat Membangsatkan Dasar Pendidikan Kebangsaan – Rashidi Haris

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

UEC BANGSATKAN BAHASA KEBANGSAAN?

Unified Examination Certicate (UEC) atau Sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina. Sijil ini merupakan sijil pembelajaran yang digunapakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

2. Pada asasnya, sijil ini terbahagi kepada tiga tahap iaitu Menengah Rendah atau Junior Middle (UECJML), Vokasional (UECV), dan Menengah Tinggi atau Senior Middle (UECSML) dan semuanya dalam bahasa Mandarin. Tidak ada satu subjek pun dalam Bahasa Melayu. Contoh dalam UECSML terdapat subjek Matematik, Sains dan Perdagangan, semuanya dalam bahasa Mandarin. Selain itu, pelajar-pelajar yang mengambil sijil ini akan memiliki dua sijil sekali gus iaitu UEC dan SPM untuk membolehkan mereka bekerja di sektor kerajaan atau untuk masuk universiti awam.

3. Hari ini, UEC sudah pun digunakan secara meluas di semua sekolah persendirian Cina. Mereka mempunyai sistem pendidikan tersendiri di bawah pengawasan Dong Zong kerana enggan menggunakan sistem pendidikan kebangsaan. UEC telah ditolak sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi. Bahkan tokoh Cina seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun Tan Siew Sin juga turut menolak pengiktirafan UEC hingga mereka dikecam teruk.

4. Namun, usaha untuk menegakkan bahasa Cina di sekolah-sekolah Malaysia tidak terhenti setakat itu. Lim Lian Geok, seorang guru dan aktivis lantang menuntut pendidikan “Chinese-centric” mendapat sokongan Dong Zong untuk mendesak kerajaan supaya mengiktiraf bahasa Cina sebagai salah satu bahasa rasmi di Malaysia. Kerana itu, kerakyatan Lim Lian Geok telah dilucut. Beliau dianggap rasis dan boleh mencetuskan perbalahan kaum. Namun masih ada segelintir masyarakat Cina yang menganggap Lim Lian Geok sebagai patriot yang membawa agenda dan impian negara mereka.

5. Mengimbas kembali bagaimana Dong Zong mula-mula menuntut supaya UEC dibenarkan di Malaysia. Selepas puas menuntut dan mendesak, akhirnya pada 1975, tuntutan UEC dibenarkan beroperasi di negara ini telah diluluskan oleh (Tun) Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Menteri Pelajaran ketika itu. 20 tahun kemudian, sekali lagi Dong Zong menuntut pula secara terbuka supaya sijil UEC diiktiraf oleh pihak kerajaan.

6. Paling keras tuntutan Dong Zong ialah melalui Gerakan Suqiu semasa PRU 1999. Ketika itu (Tun) Dr. Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri. Tetapi tuntutan mereka telah ditolak oleh kerajaan. Bagaimanapun, untuk “menjaga hati” MCA dan GERAKAN, kerajaan pimpinan UMNO telah memenuhi tuntutan Dong Zong supaya Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) ditubuhkan dan sijil UEC diiktiraf untuk masuk ke UTAR sahaja pada waktu itu.

7. Seperti yang kita sedia maklum, sijil UEC ini menggunakan sepenuhnya bahasa Mandarin dalam sistem pembelajaran dan peperiksaan mereka. Hal ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 yang menetapkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan bagi Malaysia. Ia sudah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang telah disepakati bersama sejak dahulu.

8. Kesan dan akibat apabila UEC menggunakan bahasa Mandarin semata-mata, maka para pelajarnya akan lebih mahir dalam bahasa Mandarin berbanding bahasa kebangsaan. Lalu, bagaimana untuk merapatkan jurang perkauman yang luas sejak sekian lama. Tidakkah itu umpama membangsatkan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Seolah-olah Bahasa Kebangsaan adalah bahasa ‘second class’.

9. Sistem pembelajaran yang digunapakai oleh UEC juga membuatkan pelajar mereka terasing daripada kaum-kaum lain yang ada di dalam negara. Sistem yang digunapakai oleh UEC itu bukan sahaja menyebabkan jurang perkauman bertambah luas malah kecintaan mereka terhadap negara boleh juga dipertikaikan, malahan ada yang tidak tahu apa itu Rukunegara.

10. Pengiktirafan terhadap sijil ini juga boleh menghakis peluang kemasukan pelajar Melayu dan Bumiputera ke IPTA dalam negara. Para pelajar Melayu atau Bumiputera yang patuh kepada segala dasar-dasar kerajaan akan mempunyai peluang yang tipis untuk masuk ke IPTA berbanding pelajar-pelajar yang mengambil UEC iaitu seramai 20,000 orang setahun. Jika seramai itu pelajar UEC diberi masuk ke IPTA, dan ditambah pula dengan pelajar bukan Melayu yang lain melalui peperiksaan SPM, maka kuota untuk pelajar Melayu dan Bumiputera akan terhakis begitu sahaja.

11. Sistem pembelajaran dan peperiksaan berasaskan sijil ini langsung tidak mahu menggunakan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Mereka menggunakan sistem atau dasar pendidikan yang dicedok dari negara Taiwan. Secara tidak langsung, telah wujud dua sistem atau dua dasar pendidikan dalam sesebuah negara sedangkan bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan.

Haji Rashidi bin Haris
@ Lebai Kampung

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button