Iktiraf UEC Bercanggah Dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan – Aidil Khalid
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 12 September 2021 – “Sebagai sistem pendidikan yang berada di luar sistem pendidikan kebangsaan, pengiktirafan UEC adalah bercanggah dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.”
“Ini kerana ia merupakan sistem peperiksaan yang tidak berasaskan kepada kurikulum kebangsaan,” kata peguam, Aidil Khalid.
Mukadimah (preamble) Akta Pendidikan jelas memperuntukkan seperti berikut:
“Dan bahawasanya [Dasar Pendidikan Kebangsaan] yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem Pendidikan Kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, kurikulum kebangsaan dan peperiksaan yang sama; pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan komprehensif skopnya dan yang akan memenuhi keperluan negara, serta memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukunegara.”
Ini adalah peruntukan undang-undang yang telah dimaktubkan dan berkuatkuasa; ia tidak boleh diatasi dengan hanya persetujuan CSA politik oleh para politikus demi kepentingan peribadi dan survival politik masing-masing.
Tambah Aidil, berdasarkan kepada petikan dari mukadimah di atas, jelas dapat kita lihat bahawa pengiktirafan terhadap UEC bercanggah dengan tiga perkara utama:
(1) Bercanggah dengan “suatu sistem Pendidikan Kebangsaan”;
(2) Bercanggah kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai “bahasa pengantar utama”; dan
(3) Bercanggah kerana tidak menggunakan “kurikulum kebangsaan dan peperiksaan yang sama”.
“Ketiga-tiga percanggahan ini akan menyebabkan keputusan mengiktirafnya, boleh disifatkan sebagai salah dan tidak sah di sisi undang-undang,” tegas Aidil.
Persetujuan melalui CSA untuk mengiktiraf UEC adalah persetujuan berbentuk politik, ia keputusan politik; tetapi perlu ditekankan bahawa dari segi prinsip kedaulatan undang-undang, persetujuan politik sepatutnya tidak boleh mengatasi peruntukan undang-undang yang telah termaktub (seperti Akta Pendidikan dan Akta Bahasa Kebangsaan).
Katanya lagi, kita melihat trend yang sama jika kita kaji sejarah.
“Lebih 60 tahun yang dulu, para pemimpin kita juga sedar bahawa membenarkan kewujudan sekolah vernakular (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil) adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Tetapi walaupun dalam penuh pengetahuan itu, para pemimpin dan politikus pada ketika itu tetap membenarkan penerusan sekolah vernakular (sambil membelakangkan Perlembagaan), atas kompromi politik dan bagi menjadi popular di kalangan pengundi bangsa tertentu.”
Dan pada hari ini, generasi kita menanggung segala kesan dan akibat buruk dari keputusan para pemimpin dan ahli-ahli politik terdahulu yang membelakangkan peruntukan Perlembagaan — keretakan hubungan kaum serta kewujudan sekelompok warganegara yang langsung tidak hormat dan faham identiti kebangsaan.
“Justeru, adakah kita akan melihat sejarah berulang kembali?”
“Jika lebih 60 tahun dulu, bagi membenarkan penerusan sekolah vernakular, kali ini mengenai pengiktirafan terhadap UEC pula, di mana para pemimpin berkompromi untuk mengiktiraf UEC, sedangkan ia jelas-jelasnya bercanggah dengan peruntukan undang-undang sedia ada.”