NGO

Iktiraf & Sahkan Pelacuran: Apa Yang SUHAKAM Mahu Sampaikan?

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Apa yang mereka cuba sampaikan??

Baru-baru ini minda kita diketuk oleh satu tajuk kertas kerja di dalam satu perbincangan meja bulat anjuran Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Umum Malaysia (PKKUM) yang berbunyi “Hak Asasi Pekerja Seks”. Apa yang cuba mereka sampaikan??

Sebagai warga negara Malaysia yang beragama Islam, kami di NAJM amat terkesan dan merasakan hati dan jantung kami bagai direntap dengan berita ini. Apakah ini yang dimaksudkan dengan Hak Asasi? NAJM tidak rela membenarkan perkara sebegini dijadikan agenda oleh pihak-pihak yang cuba merosakkan roh Perlembagaan Persekutuan berkenaan Hak Asasi. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Apakah kedudukan pekerja seks di dalam agama Islam? Sudah tentulah ianya suatu perbuatan yang haram. NAJM juga percaya tiada agama di dunia ini yang membenarkan perbuatan ini. Apakah selepas ini akan ada mereka yang memperjuangkan Hak Asasi Peminum Arak? Hak Asasi Penagih Dadah? Na’udzubillahiminzaalik!

Kerajaan perlu bertegas dalam menangani tuntutan-tuntutan kumpulan seumpama ini yang jelas cuba mencabar kedudukan Islam di dalam negara ini. Mereka cuba mencelarukan minda orang ramai dengan tuntutan mereka yang boleh dianggap keterlaluan. Jika mereka ingin membantu golongan seperti ini mereka harus mendekati golongan ini dan pimpin golongan ini untuk kembali ke pangkal jalan. Bukannya dengan menuntut hak seperti ini. Semua pekerja di Malaysia mempunyai hak asasi mereka sama ada mereka pekerja kilang, pembantu rumah, bekerja kerajaan mahupun swasta. Kenapa hanya “pekerja seks” yang diberi perhatian? Kita tidak mahu ada pihak-pihak yang mempunyai agenda tersembunyi dan mengambil kesempatan di sebalik tabir hak asasi.

Kertas kerja ini dibentang oleh seorang Pesuruhjaya SUHAKAM. Inikah yang dikatakan hak asasi? Bagaimana dengan hak asasi kami yang mahukan sebuah negara yang aman, tenang dan seimbang? Kami mengajak umat Islam Malaysia untuk sama-sama menangani masalah ini demi kemaslahatan semua rakyat Malaysia.

Mengenai NAJM
Sebuah gabungan Profesional wanita yang ingin membawa Malaysia ke arah Tanah yang aman, tenang dan seimbang.

*Ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button