IG Live Tidak Senonoh Safiey Illias: Prof Madya Rafidah Hanim Buat laporan Polis
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
BANGI, 10 Jun 2021 – Satu laporan polis telah dibuat oleh Prof Madya Dr Rafidah Hanim binti Mokhtar terhadap pengguna Instagram, SafieyIllias94, di Balai Polis Bandar Baru Bangi, semalam.
Laporan ini susulan SafieyIllias94 menjadi host Instagram Live bersama seorang lagi individu melibatkan dua orang kanak-kanak bawah umur.
Menurut Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini, laporan polis dibuat atas tiga kesalahan.
Pertama, di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, yakni perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah. Kedua, di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan ketiga kesalahan di bawah OBD (orang belum dewasa) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 200.
Difahamkan, kedua-dua kanak-kanak di dalam IG Live yang diadakan pada pukul 1.50 pagi itu baru berusia 14 dan 15 tahun.
Dalam IG Live itu juga, SafieyIllias94 bersama seorang lagi individu menunjukkan kelakuan tidak senonoh sambil menghisap vape di hadapan kedua-dua kanak-kanak terbabit.
“Saya rasa kita dah banyak bertolak ansur dengan mereka yang Instafamous ini,” tegas Prof Madya Dr Rafidah Hanim.
“Ibu bapa, kejadian ini berlaku 1.50 pagi. Anak-anak tak sepatutnya menggunakan HP waktu dinihari dan bagi tujuan melawat atau terlibat dalam IgLive sebegini,” luah beliau dengan penuh kekecewaan.
Safiey Illias, yang merupakan seorang usahawan kosmetik dan selebriti sebelum ini dilaporkan kembali ke pangkal jalan Islam.
Namun, tidak lama kemudian, media melaporkan bahawa dia kembali semula menjadi transgender menggunakan alasan, sudah menjadi adat iman seseorang itu ada kalanya turun dan naik.
Terkini, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengesahkan pihaknya sedang mengesan pemilik akaun Instagram ‘safieyillias94’ dan seorang lagi pengguna Instagram, ‘pipinatasha’.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(1)Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.”
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.