Ideologi LGBTQ: Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM Digesa Wujudkan Garis Panduan Kekang Penyebaran
NILAI, 22 Jun 2023 – Profesor Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar menggesa Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk mewujudkan satu garis panduan mengekang penyebaran ideologi LGBTQ.
Selain Pesuruhjaya SUHAKAM, mantan Pesuruhjaya Kanak-Kanak juga digesa untuk menyediakan garis panduan tersebut yang menyentuh hak kanak-kanak di Malaysia berkaitan ideologi LGBTQ (seperti pendidikan dan isu transgender mengambil anak angkat).
Jelas beliau, “Kalaupun enggan menggunakan platform SUHAKAM, sekurang-kurangnya boleh menggunakan platform lain seperti sebagai Ahli Lembaga Pengarah IKIM atau Ahli Majlis Agama Islam Negeri.”
“Tidak wajar konvensyen-konvensyen antarabangsa sedia ada seperti CRC menjadi satu-satunya rujukan apa yang kita boleh perkatakan tentang hak kanak-kanak, sedangkan Malaysia juga ahli OIC, dan dokumen tematik kekeluargaan OIC-IPHRC baru-baru ini jelas menegur UN, OHCHR, CEDAW, UNICEF, UNHCR yang melanggar mandat dengan menyokong ideologi gender,” tambah Profesor Dr Rafidah.
Tegasnya, kalau dulu, Pesuruhjaya SUHAKAM secara proaktif tanpa segan, meluluskan kajian ‘Kebolehmungkinan Pengiktirafan Gender Ketiga di Malaysia’, kenapa sekarang tiada tindakan proaktif untuk SUHAKAM terutamanya OCC melihat/mengkaji implikasi gender ketiga terhadap kanak-kanak?
Menurut beliau, kalau ideologi ini tidak ‘terkawal’, inilah yang akan berlaku.
Kenyataan demikian merujuk kepada sebuah video memaparkan silibus pembelajaran kanak-kanak di United Kingdom yang didedahkan dengan ideologi LGBT seawal umur 9 tahun.
“Ibubapa di UK terpaksa memantau rapat silibus mereka, ibubapa di Kanada telah pun mengadakan protes, ibubapa di US mengadakan demonstrasi, mendesak kerajaan mengadakan undang-undang mengawal “gender clinic”,” maklumnya.
Bagaimanapun, di Malaysia, terdapat sesetengah profesional Muslim ‘malu’ untuk bercakap tentang topik ini kerana takut dikecam oleh rakan antarabangsa malah takut tidak lagi dijemput di pentas-pentas akademik luar negara.
Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa, “Kita berhak menentukan hak asasi acuan kita. Kita menyesuaikan konvensyen-konvensyen hak asasi dari luar, agar tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip agama kita. Bukan kita menolak dan mengubah agama kita, untuk disesuaikan dengan konvensyen-konvensyen asing.”
Terdahulu, senator Australia, Malcolm Roberts mendedahkan, “Menjelang umur 6 tahun, WHO mahu industri pendidikan – dan mungkin guru mereka – mendedahkan kanak-kanak kepada konsep persetubuhan, melancap dan pornografi. Menjelang umur 9 tahun, mereka dijangka mencapai pengetahuan ‘dewasa’ tentang seks termasuk pengajaran melancap dan menonton pornografi dalam talian. Pada usia 12 tahun – ingat bahawa kita masih bercakap tentang kanak-kanak kecil – WHO ingin kursus pendidikan rasmi Eropah untuk meneroka tindak balas politik dan emosi terhadap seks, akil baligh dan jantina.”