Tempatan

Ibu Bapa Boleh Dikenakan Tindakan Undang-Undang Kerana Tularkan Penyakit HFMD

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 26 Mei 2022 – “Tindakan perundangan sivil dan jenayah boleh dikenakan terhadap ibu bapa dan penjaga yang menyumbang kepada penularan penyakit HFMD tertakluk kepada keperluan pembuktian intipati perundangan yang perlu.”

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata walaupun tiada sebarang akta, perintah atau regulasi khusus berkaitan kes jangkitan HFMD, tindakan tetap boleh dikenakan dengan syarat perlu dibuktikan dan bukan hanya melalui dengar cakap (hearsay).

“Katakanlah satu sekolah ini tiada kes HFMD, kemudian seorang ibu bapa atau penjaga ini dia tahu anak dia menghidapi HFMD. Dan dia bawa anak dia ke sekolah.”

“Mungkin guru besar atau guru pun dapat tahu anak itu dipercayai ada HFMD dan mereka pesan kepada ibu bapa itu untuk bawa baliklah anak, duduk di rumah tidak mahu tular di sini pula.”

“Kalau ibu bapa itu masih bertegas, maka kalau selepas itu ada kes HFMD, anak yang disebarkan (mangsa) dengan HFMD itu, ibu bapa atau penjaga mereka boleh mengambil tindakan di mahkamah, bukan di bawah mana-mana undang-undang bertulis,” katanya kepada Getaran.

Tegasnya, tindakan boleh diambil dengan syarat plaintif perlu membuktikan bahawa anaknya telah terkena jangkitan HFMD dan ibu bapa atau penjaga (defenden) itu sedar bahawa anaknya telah menghidap HFMD tetapi masih mahu membawanya keluar rumah.

“Dengan adanya bukti-bukti tersebut, plaintif boleh mengambil tindakan dan menuntut ganti rugi.”

Jelasnya lagi, ibu bapa dan penjaga yang membiarkan anak-anak mereka sehingga boleh menjangkiti kanak-kanak lain boleh juga dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2021 atas tuduhan pengabaian.

Katanya, pihak sekolah boleh membuat laporan polis untuk membolehkan pihak berkuasa siasat sama ada ibu bapa dan penjaga tersebut boleh dikatakan sudah mengabaikan keselamatan fizikal dan emosi kanak-kanak tersebut dan yang lain.

“Kalau siasatan mendapati banyak bukti menunjukkan memang mereka tahu (termasuk) mereka sendiri memberitahu kepada guru bahawa anak mereka ponteng hari pertama sebab sakit HFMD, selepas hari kedua hendak bawa juga, sebab itu mungkin mereka boleh dituduh di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2021,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button